Showing posts with label Hayat Medika. Show all posts
Showing posts with label Hayat Medika. Show all posts

Sunday, November 4, 2018

GenTle Day Out

"Nervousnya Syahida nak GenTle Day Out esok!"

"Aiman, nervousnya nak GenTle Day Out esok!"

Berkali-kali aku mengulang kalam sedemikian kepada Syahida dan Hanis Aiman, kawan-kawan serumahku. Kedua-duanya pelik dengan perasaanku ketika itu.

Betapa terujanya aku ketika menantikan hari itu tiba.


*****

Alhamdulillah, aku telah berjaya melalui detik-detik GenTle Day Out dengan jayanya! Sementara memori di minda masih segar-bugar, ingin sekali aku memanfaatkan kesempatan ini.

Pagi Sabtu, aku dan kawan-kawan sebatch telah pergi ke Taman Botani Shah Alam untuk GenTle Day Out. Sementara aku dan kawan-kawan berjalan menuju ke tempat aktiviti diadakan, banyak juga bangunan yang kulihat, yang aku rasa agak menarik.

Setelah berjalan, tibalah di padang, iaitu tempat aktiviti akan diadakan. Perut-perut yang tadinya lapar, kini mula disorongkan sarapan pagi oleh bihun goreng kak Ina. Memang sedap! Sebungkus setengah bihun berjaya kuhabiskan! Dari mana datangnya lagi setengah? Daripada bihun kawan, dia tidak mampu habiskan, lalu kubantu. Alhamdulillah Allah mudahkan.

Usai menghabiskan bihun goreng sebanyak itu, aku mula bertanya kepada diri, 'Uish, bolehkah aku nak main satgi dengan makan sebanyak ni? Tak sakit perutkah satgi? Harap Allah mudahkan.'

Setelah makan, aktiviti dimulakan dengan senamrobik yang dikendalikan oleh Afiq. Kemudian, persembahan cheers daripada setiap kumpulan. Nama kumpulanku ialah Beruang Berdansa. Comel sangat nama tu! Kamilahlah pencadangnya. Rakan-rakan sekumpulanku, aku suka sangat! Semuanya baik-baik dan kudus-kudus belaka. Cheers pun comel sahaja, macam nama kumpulan. Cheers kumpulan lain pun, ada yang comel, yang lawak pun ada! Nama-nama kumpulan lain: Monyet Mengandung, Panda Panda, Kucing ???, Porcine Berlemak, Penguin Bergolek, Sotong Paskal. Aduhai nama-nama kumpulan pun, hahaha.

Selepas cheers, bermulalah permainan yang pertama. Aku tidak tahu nama permainannya, tapi begini permainannya: Semua orang kena duduk dalam bulatan, kemudian seorang akan mula mengira, diikuti dengan orang sebelah, dan seterusnya. Sekiranya tibanya nombor tujuh, orang yang berkenaan perlu menyebut "botol" menggantikan perkataan "tujuh". Sekiranya lambat atau tersilap sebut, maka tersingkirlah dia daripada permainan itu. Dan arahan yang diberikan akan berubah-ubah, bergantung kepada AJK Aktiviti yang mengendalikan. Seronok permainan ni, memang memerlukan fokus, dan ketenangan yang tidak dapat dikesampingkan. Penat pun ada juga, sampai otakku tidak terdaya lagi untuk fokus dan, kalahlah aku. Perkataan-perkataan yang digunakan pun lawak juga, "paskal"lah, "kasih"lah, "kak long"lah. Aduhai kawan-kawanku.

Kemudian, disusuli pula dengan charade. Masa tengah main tu, Ya Allah! Punyalah menjerit semata-mata nak jawapan didengari, tapi ada juga jawapan yang memang betul tapi tak didengari orang yang membuat gaya ketika itu. Habis sahaja permainan ini, aku terfikir sendiri, 

'Wah, tak sangka aku dah berani beritahu jawapan kuat-kuat, masa main charade waktu 1st & 2nd year dulu senyap ja, tak berani pun nak mencuba macam sekarang ni. Harap-harap bila ada kelas nanti aku akan berani cuba jawab soalan macam ni juga (tapi tidaklah sampai menjerit macam main charade tu hahaha). Takpa, bukan salah aku pun kalau angan-angan ni tak jadi kenyataan, yang penting berangan dulu.'

Okey, dapat satu pengajaran.

Seterusnya, permainan apa entah namanya hahaha. Secara ringkasnya, kumpulan yang berjaya menghabiskan buah yang diberikan (epal hijau dan lemon) itulah pemenangnya. Kumpulanku yang menang untuk habiskan lemon! Untuk epal hijau pun iya juga, tetapi wanita sahaja, yang lelaki habis lambat sikit. Betapa rakusnya kumpulan aku ni, memang beruang sungguh! 

Permainan seterusnya, Photo Zone. Setiap kumpulan akan mencabut satu tema dan timer yang ditetapkan untuk bergambar, kemudian muatnaik gambar tersebut di Whatsapp Group batch. Kumpulanku dapat tema "sekolah rendah", dengan timer 10 saat. Apa lagi, yang wanita tu, korbankan penampilanlah! Lipat tudung bulatlah, tudung ke depan sangatlah, bagi nampak anak tudunglah. HAHAHA aduhai.



Tangkap gambar sudah selesai. Semua orang berserakkan di kawasan berdekatan. Alhamdulillah, ada juga kesempatan untuk aku punya masa dengan diri sendiri. Inilah cara introvert dapatkan tenaga semula, kena ada 'me time' selepas bergaul dengan banyak orang. Sesekali itu ada juga tangkap gambar pemandangan yang indah di Taman Botani ini. Indah sangat pemandangannya, Maha Suci Allah yang menciptakan pemandangan ini.





Selepas itu, ada aktiviti tukar-tukar hadiah. Apa lagi, berdebar-debarlah aku menantikan hadiah yang bakal kuraih, serta menanti siapalah yang bakal menerima hadiahku. "Siapa yang bagi?" "Adakah aku akan dapat seperti yang aku nak?" "Adakah merah jambunya tu merah jambu yang aku nak?" "Siapa yang akan dapat hadiah aku?" "Yang akan dapat hadiah aku ni agak-agak boleh terimakah barang warna merah jambu?" Persoalan-persoalan ini jugalah yang telah merancakkan lagi perasaan gementarku ketika sehari sebelum GDO. 

Terjawab jua segala persoalan. Yang memberi hadiah, Sofia. Alhamdulillah, aku dapat hadiah wishlist yang pertama, iaitu payung kecil merah jambu! Ya, seperti yang diharapkan, memang merah jambu yang aku suka! Alhamdulillah, sayang Sofia erat-erat!! Sungguh, susah sangat untuk temui payung kecil merah jambu seperti yang aku nak. Kalau ada pun, ada gambar kartun. Memang hebatlah Sofia boleh jumpa. Terima kasih sangat-sangat!


Sebenarnya bukan macam ni merah jambunya, tengok depan mata jauh lebih lawa daripada gambar ni.
Yang menerima hadiah pula, Lina, dengan nama gelarannya LCo. Kini aku sudah tahu apa maksud LCo itu, tetapi malas pula hendakku ceritakan di sini. Alhamdulillah, syukurlah yang dapat hadiahku ini perempuan yang bukan brutal dan garang. Kalau tidak, meratapilah dia dengan hadiah thermos merah jambu yang aku bagi tu.

Nampak gaya macam dia suka dengan hadiah yang aku bagi. Alhamdulillah.
Akhir sekali, permainan belon air. Permainan ini dimainkan secara berpasangan. Alhamdulillah, dapat pair yang memang nak main sebab seronok-seronok sahaja, tak kisah pun menang ke kalah. Maka bermainlah aku sebab seronok-seronok dan tanpa ada rasa stres.

Maka, berakhirlah permainan dalam GenTle Day Out. 




Sebelum pulang, ada juga antara kami yang mengambil peluang untuk menaiki bas di Taman Botani ini. Aku mengambil port yang aku target siap-siap: sebelah 'tingkap' (tapi tak ada tingkap pun), ruangan belakang yang tiada tempat duduk. Ketika tayar bas sudah bergolek, fuuuh! Aku pun, apa lagi, depakan tanganlah acah-acah Titanic, diserikan lagi dengan angin yang menderu, ditambah rencah lagi dengan pemandangan hijau Taman Botani yang menyejukkan sang mata, mantap sangat. Ahh, rindunya saat itu! Momen indah ini berakhir apabila bas ini tiba berdekatan dengan Rumah Empat Musim.


Kredit gambar: Izyan Lily

Sayangnya, waktu semakin suntuk. Langit pula menunjukkan tanda-tanda hendak hujan. Maka, kami berpatah balik ke tempat kami menunggu bas tadi, dengan berjalan kaki. Tak sempat pun untuk menjelajahi Rumah Empat Musim. Sedih, ya memang sedih! Tapi tidaklah sedih mana, sebab dalam perjalanan, ada pula peluang untuk meniti jambatan (jambatan apa entah namanya hahaha, alaaah spoillah Nadiah ni!).

Dan ketika berjalan juga, hujan sudah mula membasahi bumi. Aku apa lagi, keluarkanlah hadiah cantikku itu, payung merah jambu! Betapa melompat-lompat hatiku ketika itu apabila dipayungi warna kegemaranku. Aku memayungi diriku bersama Zulfa.

Akhirnya, tibalah kami ke tempat asal, lalu menuju ke kenderaan masing-masing. Tamat.

Akhir kalam, terima kasih sangat-sangat buat ketua batch, Ariff, penolong ketua batch, Afrina yang cantik sangat masa GDO semalam, AJK Aktiviti, Aiman Arif yang cemerlang sangat kendalikan game, Ezieyan dan anak-anak buah anda, AJK Hadiah, Fatihah dan Najmah yang walaupun sopan dan pemalu tetapi boleh kendalikan tukar-tukar hadiah dengan mantap, dan tidak dilupa juga buat AJK Makanan, Afifah dan siapa entah lagi seorang, makanan dan minuman semua cukup dan sedap sangat! Mm mm mmmm! Hahaha melampaunya aku.

Kawan-kawan sekumpulan: Fatihah, Arni, Syamimi, Humaira', Kamilah, Farhan, Fawwaz, Long, Ikhwan. Terima kasih sebab mencomelkan detik-detikku di GDO.

Kawan-kawan sekenderaan: Syazana the driver, terima kasih sangat-sangat sebab sudi tumpangkan Nadiah, Saadah, Sarah dan Humaira' untuk perjalanan pergi dan pulang, sanggup memandu walaupun tengah sakit kepala semasa perjalanan pulang.

Alhamdulillah, saat mata anda meniti baris bait ini, anda telah saksikan bahawa aku sudah berjaya merakamkan memori-memori indah di GenTle Day Out melalui tulisanku yang tidak seberapa.

Sekian. Sayang semua orang!

p/s: Oh ya, sebenarnya ada juga aktiviti teka-teka spy, tapi tak tahu nak mulakan dari mana. Apa yang aku boleh komen, semua yang jadi spy tu memang super duper liciklah, hahaha. 

Sunday, July 1, 2018

Yang Memerhati, Yang Mengalami 2

Tanggal 8 Jun 2018, hari yang dinanti-nantikan dengan penuh debaran oleh semua pelajar tahun dua perubatan selama ini telahpun tiba, iaitu hari keputusan Peperiksaan Profesional 1. Aku yang ketika itu baru sahaja selesai sembahyang Subuh, sesekali berasa letih dan ingin tidur sebentar walaupun jiwa dan fikiran tidak pernah lekang dengan rasa berdebar.

'Ngantuknya, rasa macam nak tidurlah.'

Tiba-tiba, aku berubah fikiran,

'Tapi, inilah masanya untuk menjemput rezeki. Manalah tahu, andai aku tak tidur sekarang ni, aku dapat rezeki lulus pro exam sebentar lagi?'

Setelah itu, aku tidak jadi tidur lalu berusaha untuk menghidupkan pagi itu dengan perkara yang bermanfaat. Nak minum kopi, masih lagi di bulan Ramadan. Jadi hanya itu sajalah yang mampu kuusahakan, dengan harapan aku tidak tidur pada pagi itu.

*****

10.20 pagi. Aku sudah tiba di Dewan Kuliah Ibnu Sina, dewan yang bakal menjadi saksi bagi hari yang penuh makna ini. Aku memilih tempat duduk lalu duduklah aku berseorangan di dalam dewan kuliah itu. Kawan-kawan yang lain masih berlegar di luar dewan kuliah.

Beberapa minit kemudian, barulah seorang demi seorang memasuki dewan kuliah. Aku tidak mampu berkata apa-apapun melainkan berzikir dengan apa-apa zikir yang dikatakan bakal menjemput rezeki dengan izin Allah. Sedang aku berzikir, tiba-tiba Maznah datang kepadaku seraya menepuk bahuku sedikit kuat,

"Percaya dengan Allah, insyaAllah kau boleh."
"Maznah, doakan aku tau bagi aku lulus. Aku tak kuat nak hadapi supplementary," rayu aku.
"Nadiah, apa-apa yang terjadi lepas ni, mesti ada hikmah di sebaliknya."
"Maznah, please! Doakan aku bagi tak kena supplementary, I beg you!" Aku agak emosi ketika ini.
"Okey, okey. Takpe, Nadiah. Jangan risau, kitorang dah buat solat hajat dah untuk kau, okey?" Balas Maznah tenang.
"Okey, terima kasih Maznah," balas aku perlahan.

Maznah berlalu dari tempatku. Tiba-tiba, kawanku yang duduk di belakangku memanggil,

"Nadiah, ada orang bagi kad ni kat Nadiah."

"Oh, terima kasih!" Balasku dengan teruja.



Aku membuka kad itu lalu membaca coretan di dalamnya,


"TQ jadi kawan aku. Ni aku guna pink sebab kau tau. Sila hargai. Kuatkan semangat selaluTry to think beyond, atau fikirkan hikmahnya. For what is best for you, you may not see just yet."

Aku melihat di bahagian kulit belakang kad itu. Tertera perkataan Saadah dalam ejaan bahasa Arab. Oh, Saadah pengirimnya.

'Terima kasih Saadah. Ada saja cara yang dia buat untuk menyayangi kawan-kawannya,' detik hatiku sambil tersenyum.

Tidak lama selepas itu, kelihatan para pensyarah memasuki dewan kuliah, disusuli dengan ketibaan Dekan Fakulti.

Rasa gerun para pelajar kini mencapai tahap maksimum!


*****

"I would like to say that all of you pass, but unfortunately not," ucap Prof. Shamsir, Dekan Fakulti di hadapan.

Bertambah kencanglah degupan hati ini. Lantas aku berdoa,

'Allah, jadikanlah aku dalam kalangan yang lulus.'

Tidak lama kemudian, Prof. Shamsir menyebut nama penuhku,

"Nur Nadiah Nadhirah binti Zainol."

'Eh, kenapa tiba-tiba Dekan panggil aku ni? Nak umumkan result viva dulu ke sebelum umum result pro semua orang? Nama aku lambat lagi kot kalau ikut namelist. Apalah yang Dekan nak bagitau aku ni. Minta-mintalah Dekan umumkan aku lulus,' ligat fikiranku kerana terlalu panik.

Aku pun berdiri, menanti apa-apa yang bakal Dekan umumkan dengan penuh pasrah.

"CONGRATULATIONS, YOU PASS THE EXAMINATION!" umum Prof. Shamsir, dihiasi dengan tepukan yang amat gemuruh oleh semua pelajar tahun dua.

"Alhamdulillah!" Lafazku terharu bercampur sayu sambil menutup mukaku. Rupa-rupanya Dekan sudah mula mengumumkan keputusan dan namaku adalah yang terawal!

Aku duduk semula sambil menangis kegembiraan. Kawan-kawan yang duduk di hadapan, tepi dan belakangku turut berasa gembira lalu mengucapkan tahniah kepadaku. Ada yang siap menyumbang sehelai tisu lagi!

'Allah, apa yang terjadi sekarang ini betul-betul satu keajaiban! Dengan kuasa-Mu, Kau telah menjadikannya realiti,' bisik hatiku dalam keadaan terlalu gembira.

'Ini, benar-benar saat yang terindah!

*****

"Izlyn, boleh tak kalau Nadiah nak ikut balik rumah sekali? Ke nak pergi mana-mana lepas ni?" Tanya aku sambil menunggu di depan lif bersama Izlyn, Shasha dan Suaidah.

"Oh, kitorang nak pergi tempat lain kejap, lepas tu baru balik rumah," kata Izlyn.

Tiba-tiba, Izlyn, yang juga kawan sebilikku menyambung bicara,

"Nadiah tahu tak, hari tu Izlyn ada bagitau mama Izlyn pasal Nadiah dapat viva. Mama Izlyn kesian sangat kat Nadiah dan doakan Nadiah pass."

"Oh ya ka? MasyaAllah terharu sangat! Patutlah Nadiah pass, ada yang doakan dalam diam rupanya. Terima kasih Izlyn, terima kasih juga kat mama Izlyn!" Balas aku terharu.

"Wei, tahniah tau! Tadi waktu hang nangis tu, seriously aku pun rasa nak nangis sekali!" Kini Shasha pula yang menyertai perbualan.

"Haha. Terima kasih tau, Shasha. Semua ni pun berkat hang dengan Suaidah ajar aku juga," balas aku sambil tersenyum.

*****

Sekejap sahaja masa berlalu. Terasa seperti baru sahaja menyaksikan pengumuman keputusan Peperiksaan Profesional 1 untuk batch lepas. Kini, giliranku juga sudah selesai.

Sedang aku duduk bersahaja di atas katil, aku mengimbau perbualanku dengan Miss Rani selepas aku bersalaman dengan beliau,

"Miss Rani, thank you so much!"
"Congrats, Nadiah! You did very well yesterday."
"Seriously I did not expect that I will pass."
"Really? You did very well. We can't figure out, how can you fail during the paper exam!"

Sungguh tidak kusangka, padahal banyak juga yang tergagap-gagap dan tidak ingat jawapan ketika menjawab soalan-soalan viva tempoh hari kerana terlalu gementar. Siapa saja yang tidak berdebar apabila perlu survive dalam kedua-dua borderline viva demi hendak lulus?

'Sungguh, hati para penilai viva telah dilembutkan oleh-Nya.'

Aku tersenyum.

Syukur, dengan kuasa-Nya, aku melepasi musim pro exam 1, yakni ujian pertamaku sebagai seorang pelajar perubatan dengan jayanya!


TAMAT.

Selingan :

Sekalung apresiasi buat emak & ayah, kakak, kawan-kawan sebatch (GenTle) yang tak pernah jemu mendoakan dan bantuan yang amat banyak tak terhingga daripada sebelum pro exam sehinggalah ke hari viva, para pensyarah yang bersusah payah mengajarku, semua penilai viva, Kak Fatin Nadia yang memberiku hadiah keychain merah jambu, dan insan-insan lain yang mendoakan kejayaanku dalam diam.

Friday, June 29, 2018

Lemah (Bahagian Akhir)

Pada jam 8.30 pagi, aku dan kawan-kawan yang terpilih untuk menghadiri viva sudah berada di fakulti. Sementara menunggu jam 9.45 pagi untuk pergi ke tingkat 13, kami mengulang kaji dahulu di bilik risas (resuscitation room).

Satu kumpulan belajar Biokimia, satu lagi kumpulan belajar Anatomi. Aku yang perlu menghadiri kedua-dua borderline viva ini, kena menyertai kedua-duanya. Sekejap mendengar kumpulan yang belajar Anatomi, sekejap menghalakan telingaku ke arah kumpulan satu lagi pula. Dan kitaran itu terus berlaku. Pening.

Terlalu banyak untukku perlu ulang kaji. Sesekali kepala ini berasa tepu.

"Banyaklah nak kena tengok, tak tahu dah nak baca apa. Patutkah aku berhenti baca?" Tanya aku dengan nada sedikit mengeluh.

"Baca je, Nadiah. Kalau tepu yang awak rasa, memang tepulah jadinya," balas Amirah.

"Haah, betul tu," Zulfa menyokong kata-kata Amirah.

Aku menurut saja apa-apa yang dikatakan mereka itu. Aku abaikan rasa tepu di kepala lalu meneruskan ulang kaji pelajaran. Lagipun, aku tahu bahawa aku kena lulus dalam peperiksaan profesional 1 ini. Ya, KENA LULUS.


*****

Semua pelajar yang terpilih sudah berada di dalam ruang menunggu di tingkat 13. Masing-masing menanti giliran dengan penuh debaran.

"Nur Nadiah Nadhirah ada ke?" Miss Rani, pensyarah Anatomi muncul di depan ruang menunggu.

Aku mengangkat tangan.

"Okey, mari ikut saya," Miss Rani mengajakku lembut lalu membawaku ke tempat viva Anatomi.

Masanya sudah tiba. Dengan fikiran yang kosong kerana gementar yang terkawal, dengan jiwa yang terkandung di dalamnya segunung harapan, aku memasuki bilik viva itu. Kelihatan tiga orang pensyarah Anatomi sebagai penilai sedang duduk sambil menanti kehadiranku. Terdapat sebuah kotak besar di atas meja, mungkin diisi dengan tulang-tulang agaknya.

"Assalamualaikum, Doctor," aku memberi salam.

"Waalaikumussalam, have a seat," balas Dr. Hisyam seraya menjemputku duduk di sebuah kerusi tunggal yang berada bertentangan dengan ketiga-tiga penilai itu.

Maka bermulalah sesi viva untuk Anatomi.


*****

Habis sudah viva Anatomi. Aku tidak dibenarkan untuk kembali ke ruang menunggu walaupun perlu menunggu giliran untuk satu lagi viva. Oleh itu, aku diminta untuk menunggu di ruang pejabat kak Suhani.

Aku duduk di sofa yang berdekatan. Kemudian Miss Que, pensyarah bahasa Inggeris memasuki pejabat. Aku memberi salam terlebih dahulu,

"Assalamualaikum Miss."
"Waalaikumussalam. Eh, hi! Who are you waiting for?" balas Miss Que dengan ceria sambil duduk di sofa yang lain.
"Oh, I'm actually waiting for my turn in viva."
"Oh, you got viva? Good luck!"
"Thanks, Miss! Pray for me, Miss. You know what? I got two borderline vivas! And I'm terribly nervous now."
"It's okay. As long as you know what you're saying, you'll make it. Don't worry, I pray for you!"
"Thanks again, Miss!" Diriku ketika ini bagaikan telefon yang baru dicas setelah bateri kian surut. Terasa semakin positif!

'As long as you know what you're saying, you'll make it.'

Baik, Miss. Akan kusemat kata-kata ini.


*****

Giliranku sudah tiba. Viva untuk Biokimia diadakan di bilik mesyuarat. Suasana bilik mesyuarat yang amat besar itu kelihatan begitu gah sekali, menambahkan lagi rasa gementar di hati. Ada sebuah meja besar, dikelilingi kerusi-kerusi yang banyak. Terdapat dua orang pensyarah Biokimia sebagai penilai dalaman dan seorang penilai luaran. Dr. Nazefah, pensyarah Biokimia dan juga penilai dalaman ketika itu, menjemputku duduk di mana-mana kerusi yang bertentangan dengan mereka.

Maka viva pun bermula.


*****

Syukur, aku berjaya menghabiskan kedua-dua viva dengan sehabis baik walaupun tidaklah selancar mana, dan ada juga beberapa soalan yang aku tidak dapat jawab. Kini aku sudah berada di dalam bilikku, tapi tidak mampu tidur pula seperti yang dirancang pagi tadi.

Aku pun membuka aplikasi Whatsapp dalam telefonku. Dari semalam sehingga pagi tadi, Whatsappku dihujani dengan doa dan kata-kata semangat daripada kawan-kawanku agar aku lulus dalam viva. Ada yang aku sempat balas semalam, ada juga yang aku baru berkesempatan untuk balas ketika ini. Sekali lagi, aku amat terharu dengan mereka. Kadang-kadang, terasa juga diri ini seperti artis yang membalas mesej Whatsapp daripada peminat. Ahah!

Usai membalas kesemua mesej Whatsapp, secebis memori berkaitan viva pagi tadi mula bermain dalam fikiran dan terngiang-ngiang di telinga.

"Good luck, Nadiah. You have done very well just now!" Kata Miss Rani sebaik sahaja beliau membawaku keluar daripada bilik viva setelah tamat viva.

"No, it's okay. Actually you've already done well, especially during metabolism part," kata penilai luaran viva Biokimia kepadaku setelah aku memohon maaf ketika di penghujung viva.

'Adakah kata-kata yang dilantunkan itu benar-benar seperti yang dimaksudkan?' 
'Mungkin agak kejam sekiranya kata-kata itu semua hanyalah penyedap hatiku sahaja, lebih-lebih lagi ketika aku berada dalam situasi sebegini.'
'Tetapi, boleh jadi juga, bukan?'

Aku resah kembali. Tidak lama kemudian, kata-kata Syahida pula yang terbit di lapangan fikiran,

"Ada senior seorang tu, dia boleh jawab semua soalan, tapi tengok-tengok, dia tak lulus viva. Nasib baik akhirnya dia lulus juga subjek tu, tapi selepas kena supplementary exam. Ada senior lain pula, hanya 3 daripada 5 soalan saja yang dia boleh jawab, tapi akhirnya, dia lulus viva. Tak tahulah penilaian untuk viva ni macam mana sebenarnya, mungkin bergantung kepada nasib kot."

Andai begitulah gayanya, aku hanya mampu berserah kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Berkuasa Atas Tiap Sesuatu. Mungkin lulusnya aku dalam kedua-dua viva dan pro exam dianggap mustahil dan ajaib di bayangan fikiranku, tapi tidak di pandangan-Nya.

'Allah, persaksikanlah bahawa aku telah berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal kepada-Mu. Sesungguhnya aku memang nak lulus dalam pro exam 1.' 

Lemah (Bahagian 2)

"Nadiah, kau ada siapa-siapa tak untuk balik sekali?" Tanya Zulfa, salah seorang kawanku yang mengerumuniku sebentar tadi.

Aku geleng, lalu Zulfa mengajakku pulang dengannya menaiki Grab bersama-sama lagi dua orang kawanku.

Kami turun ke aras 1 dengan lif. Usai tiba di aras 1, aku sambung menangis sementara menunggu kereta Grab sampai di depan fakulti. Iyalah, hati siapa yang tidak berkecai apabila mendapat tahu tentang kegagalan, lebih-lebih lagi dalam peperiksaan besar yang melibatkan repeat year sekiranya gagal (termasuk gagal viva).

Belum sempat kesedihan ini reda, telefonku berdering. Nombor pejabat tertera di skrin.

Aku menjawab panggilan.

"Helo, Assalamualaikum," aku memulakan perbualan.
"Waalaikumussalam, ni Nadiahkah?"
"Ya, saya."
"Ni kak Su ni. Nadiah kena datang untuk viva esok ya untuk subjek Biochem."

Dugaan baharu pula yang menimpa. Aku cuba untuk kelihatan tenang ketika itu lalu meneruskan perbualan,

"Oh. Err pukul berapa ya, kak?"
"Pukul 10 pagi."
"Err tapi saya ada viva Anatomy juga esok."
"Ya, akak tahu. Datang je pukul 10, nanti akak arrange lain macam mana."
"Oh okey. Terima kasih kak. Assalamualaikum."

Perbualan berakhir. Aku terus memberitahu kawan-kawanku yang berada di situ bahawa kak Su sudah mula menghubungi pelajar yang terpilih untuk menghadiri viva Biokimia supaya mereka bersiap sedia.

Aku sambung menangis. Kali ini, tangisanku semakin kuat lantaran mendapat panggilan viva sebentar tadi. Sekali lagi, kawan-kawanku cuba menenangkanku.

Beberapa minit kemudian, kereta Grab sudah sampai di hadapan fakulti. Hujanan air mata yang bercurahan membasahi dataran wajah menemaniku sepanjang perjalanan pulang ke kolej.

'Adakah ini mimpi? Tidak, ini realiti!' Rintih sang nurani seakan tidak percaya.

 *****

Tiba di bilik tidur, badanku terasa lemah sekali. Langkahku amat longlai, belum pernah lagi selonglai itu sebelum ini. Namun kugagahkan jua untuk sembahyang Asar.

Usai sembahyang, aku duduk di hadapan meja belajar di ruang tamu untuk mencari ketenangan. Aku berdiam diri. Dengan wajah yang bermuram durja, aku merenung seraya mencari kekuatan untukku terus tabah. Sesekali ada juga kawan-kawan serumahku yang kebetulan sedang lalu berdekatan, berhenti kepadaku untuk memberi kata-kata semangat. Aku hanya mampu membalas keprihatinan mereka dengan senyuman yang tidak menjadi serta air mata. Ya, aku sangat lemah.

'Aku nak belajarlah. Aku rasa itulah sumber kekuatanku buat masa kini, tetapi ada ke yang sudi mengajarku di saat semua orang keletihan sekarang ni?' Bisik hatiku.

Tidak lama kemudian, Fathimah, kawan sebilikku menyapa,

"Nadiah, Nadiah nak belajar ke? Nadiah nak Fathimah ajar apa? Anatomy ke Biochem? Fathimah okey je nak ajar mana-mana subjek pun."

Allahuakbar. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Terasa hati yang jatuh dihempap tadi, kini diangkat kembali!

"Betul ke ni, Fathimah? Kalau sekarang boleh tak? Nak belajar Biochem," aku membalas.

"Haah, boleh. Nak Biochem eh? Okey, Fathimah ambil lecture note kejap," ujar Fathimah.

Kami berdua pun belajar Biokimia sama-sama. Walaupun keletihan itu masih terasa, sekurang-kurangnya aku sudah memperoleh sedikit kekuatan.

Ketika itu, ada juga beberapa kawanku yang menawarkan diri untuk mengajarku selepas sembahyang terawih nanti. Mereka ialah Amirah, Zulfa, Aina dan Ummu Hani. Aku amat terharu dengan sikap tidak lokek ilmu mereka itu.

*****

Aku baru sahaja selesai sembahyang terawih di dalam bilik. Sebaik sahaja aku menyangkut telekung, aku keluar menuju ke ruang tamu untuk menunggu Zulfa dan Amirah. Tiba-tiba,

"Eh, Nadiah!" Syahida menyapaku.
"Eh, Ida! Rajinnya datang sini! Ada apa datang ni?" Aku balas sapaannya dalam keadaan sedikit terkejut.
"Nak jumpa Nadiahlah. Ini hah, Nadia Syafiqah bagi," Syahida menghulurkan sepaket coklat jenama Milo Nuggets yang disertakan dengan sekeping kertas berisi kata-kata semangat.
"MasyaAllah terima kasih Ida. Kata kat Nadia, Nadiah ucap terima kasih tau."
"Sama-sama. Nadiah jangan risau tau. Tadi, kami satu rumah buat solat hajat untuk Nadiah!
"Sungguhlah? MasyaAllah terharunya! Rasa nak nangis," aku menuturkan rasa terharuku. Kolam mata bergenang kembali.
"Eh, alaa. Janganlah nangis," kata Syahida sambil tolong mengesat air mataku.

Aku hanya tersenyum. Maka kami pun meneruskan perbualan. Sepanjang perbualan itu, Syahida menceritakan pengalaman viva sebelum ini oleh senior-senior yang ditanyakannya pada petang tadi. Perbualan kami berakhir apabila Amirah dan Zulfa sampai ke rumahku.

*****

Study group untuk subjek Biokimia berakhir pada jam 1 pagi. Kami belajar di bilik Hajar, kawan serumahku kerana salah seorang daripada kawan sebiliknya juga menyertai kami untuk persediaan viva. Amirah dan Zulfa bingkas bangun daripada posisi duduk untuk pulang ke rumah mereka. Kami saling berbalas doa agar sama-sama berjaya dalam viva pada pagi nanti. Amirah dan Zulfa juga perlu menghadiri viva, tetapi distinction viva.

'Orang lain dah boleh tidur, tetapi tidak bagiku. Aku kena berhempas-pulas untuk Anatomi pula selepas ini, dari tadi belajar Biochem sahaja. Tetapi, siapa yang hendak mengajarku?' Detik hatiku.

Kemudian aku melihat Hajar yang sedang bermain telefon lalu pergi ke katilnya.

"Hajar, boleh tak Hajar ajar Nadiah Anatomi? Nadiah tak mampu dah nak belajar sendiri sekarang ni. Banyak sangat."

Hajar sudi untuk mengajarku. Dia mengajarku tanpa jemu walaupun sudah beberapa kali aku memintanya berhenti untuk memberi peluang kepadanya berehat dan tidur. Sehinggalah jam 3 pagi, barulah dia tidur, itupun memintaku kejutkannya semula sejam kemudian. Allah, besar pengorbanan kawanku yang seorang ini!

Hajar sudah tidur. Aku turun ke bawah untuk kembali ke bilikku. Kelihatan Shasha dan Suaidah masih belum tidur di ruang tamu.

Aku cuba untuk meminta pertolongan daripada Shasha dan Suaidah pula untuk mengajarku. Alhamdulillah, mereka juga sudi untuk mengajarku. Suaidah terus menaiki tangga menuju ke biliknya di tingkat atas untuk mengambil nota-notanya yang banyak dan berat itu.

Maka bermulalah pembelajaran Anatomiku bersama mereka berdua. Sesekali terasa berat di kepala ini namun kutahankan jua. Pada jam 5.10 pagi, aku meminta untuk berhenti kerana hendak bersahur dan beribadah sementara menunggu masuknya waktu subuh.

Ya, aku sememangnya tidak tidur langsung. Aku fikir, biarlah aku bersusah-susah dahulu, habis viva, terus tidur cukup-cukup! Semoga dengan pengorbanan ini, disertai dengan rintihan doa di setiap sembahyangku, aku dapat memanifestasikan kepada Allah bahawa aku sememangnya ingin lulus dalam viva dan pro exam, tanpa perlu menduduki supplementary exam! 

Nota kaki: Supplementary exam ialah sebuah peperiksaan yang perlu diduduki oleh pelajar yang gagal dalam peperiksaan professional sebagai peluang terakhir, sebelum disahkan untuk dapat naik tahun atau repeat year.

'Apalah agaknya yang bakal berlaku ketika viva nanti?'

BERSAMBUNG. 

Lemah (Bahagian 1)

"Alhamdulillah, dah habis dah kesemua final dan pro exam!" Kata aku kepada kawan-kawan dengan nada yang lega sebaik sahaja keluar dari dewan peperiksaan.

"Tapi, sebentar lagi ada pengumuman tentang viva lah pula. Takutlah!" Sambung aku.

"Takpe Nadiah, apa-apa jua keputusan, itulah yang terbaik untuk kita semua," ujar Amirah dengan tenang.

Sedikit nota kaki tentang viva. Secara umumnya, viva ini lebih kurang seperti temu duga, cuma bezanya, penilai dalaman atau luaran akan bertanya soalan berkaitan apa-apa yang telah dipelajari dalam subjek perubatan. Misalnya viva untuk subjek Anatomi, penilai akan bertanya soalan mengenai Anatomi. Pendek kata, viva ini ialah peperiksaan dalam bentuk lisan.

Terdapat dua jenis viva: distinction viva dan borderline viva. Distinction viva adalah untuk pelajar yang mendapat A-, sekiranya lulus viva, gred akan dinaikkan ke A. Manakala borderline viva pula adalah untuk pelajar yang mendapat C- (sudah gagal mengikut kursus perubatan USIM), sekiranya lulus viva, mereka berpeluang untuk lulus dan mendapat gred C.

Semua pelajar tahun dua sedang menunggu di luar dewan peperiksaan untuk pengumuman viva tersebut. Hati ini mula berasa tidak tenang. Mindaku ligat membayangkan situasi sekiranya aku terpilih ke viva bagaikan video yang dipancarkan ke skrin. Aku semakin resah, menafikan segala yang digambarkan. Bimbang kalau bayangan minda itu diserap masuk ke dalam minda bawah sedar. Mengikut pembacaan, kalau masuk ke dalam minda bawah sedar, apa-apa yang dibayangkan akan menjadi realiti.

'Huh, tak sangguplah aku! Ya Allah, tolonglah aku. Luluskanlah aku tanpa perlu ke borderline viva,' rintih hatiku.

'Tak boleh jadi ni. Kena telefon emak ni, minta emak doakan!'

Aku menghubungi emakku. Setelah menghubungi emakku, aku teruskan penantianku. Tidak lama kemudian, aku mendengar sahutan pelajar lelaki dihiasi bunyi tepukan yang begitu kuat. Aku menjenguk ke arah bunyi itu.

"Doktor dengan Kak Su dah sampailah!" Kata aku kepada kawan-kawan.

"Hah!"
"Gementarnya!"
"Takutnya!"

Inilah kata-kata yang banyak dilantunkan sesama kami ketika itu.

"SEMUA BOLEH MASUK SEKARANG!" Arah Kak Suhani, staf USIM kepada semua pelajar tahun dua.

*****
Situasi di dalam dewan peperiksaan.

"Okey, hari ni saya dan Dr. Azila akan umumkan pelajar yang terpilih untuk viva bagi subjek Anatomy dan Physiology. Biochemistry tak diumumkan di sini sebab belum ada lagi senarai pelajar yang terpilih. Jadi, lepas ni, semua bersiap sedia ya dengan phone masing-masing, jangan silent phone, okey?" Kata Dr. Marlini di hadapan dewan peperiksaan.

Saat ini, degupan hatiku sungguh kencang sekali. Naluriku kuat mengatakan bahawa aku akan terpilih untuk menghadiri viva Anatomy, dan tidak mustahil untuk terpilih juga ke viva Biochemistry, tetapi aku tetap menafikan sekerasnya.

"Okey, sekarang tiba masanya untuk kami umumkan. Saya menjemput Dr. Azila untuk umumkan viva bagi subjek Physiology," sambung Dr. Marlini.

"Okay. For viva Physiology, nobody were selected for viva, neither the distinction one nor the borderline one. So congratulations!" Dr. Azila mengumumkan viva bagi subjek Fisiologi.

"Alhamdulillah," ujar beberapa orang pelajar disusuli dengan tepukan gemuruh.

"But you need to know, this doesn't mean that all of you pass and nobody fails in Physiology," sambung Dr. Azila setelah bunyi tepukan sedikit reda.

"Allah..." Keluh pelajar tanda gementar.

"Okay, that's all from me. Thank you and good luck," Dr. Azila menutup bicara beliau lalu diambil alih semula oleh Dr. Marlini,

"Okay, thank you Dr. Azila. Now I'm going to announce for Anatomy. Ada 3 orang sahaja yang terpilih. Saya akan bacakan nombor matrik sahaja, so dengar baik-baik."

"Nombor matrik yang pertama, 11606..."

'63?' Mindaku terlebih dahulu membayangkan nombor matrikku disebut.

'Ish tak tak tak!' Aku cuba menafikan, tetapi...

"...63."

"Hah!" Terlopong aku mendengar nombor matrikku benar-benar disebut. Beberapa orang kawanku yang terdengar memandang ke arahku.

Lemah. Kaku. Terdiam, seribu bahasa.

*****

Aku berlari ke arah kerusi-kerusi di luar dewan peperiksaan. Aku menangis sekuatnya tanpa memikirkan lagi keadaan sekelilingku.

Kawan-kawanku datang mengerumuni diri ini.

"Sabar tau, Nadiah. Kau dapat yang distinction kot," pujuk Natasha.

"Tak! Tak mungkin aku dapat yang distinction. Aku saja yang tahu macam mana aku jawab hari tu. Memang tak lah kalau distinction," balas aku sambil teresak-esak.

"Takpe Nadiah. Anggap ni peluang terakhir untuk kau pass. Kali ni kau buat betul-betul, okey?" Ujar salah seorang kawanku yang aku tidak pasti siapa.

"InsyaAllah Nadiah boleh," Natasha menambah sambil mengusap belakang tubuhku.

Aku hanya menggangguk seraya cuba untuk meredakan tangisan.

BERSAMBUNG.

Wednesday, June 27, 2018

Pituitari

Hari itu, tahap positivitiku berada di paras yang begitu memberangsangkan sehingga aku menaip status ini di sebuah laman sosial,

"Andai tak terlihat kekuatan anda, biarlah aku menjadi cermin buat anda."

Kelihatan positif sungguh kan? Aku juga rindukan tahap positif sebegini kembali.

Tidak lama selepas itu, ada satu mesej baharu muncul dalam telefonku. Lina pengirimnya. Barangkali kerana respon untuk statusku tadi. Aku mula rasa teruja.

Cepat-cepat aku membuka mesej yang baru masuk itu lalu membacanya,

"Assalamualaikum Nadiah. Lina nak respon pasal status Nadiah tu. Macam ni, Lina selalu rasa rendah diri, mungkin sebab fizikal Lina sendiri yang rendah. Lina rasa macam, orang tak berapa harapkan Lina dalam kebanyakan kerja sebab Lina yang kelihatan kecil dan macam budak-budak ni. Dan orang juga tak ambil serius dengan apa-apa yang Lina katakan. Apa pendapat kau?"

Aku mula menarik nafas dalam-dalam. Inilah masanya untuk aku menjadi 'cermin' buat kawanku yang memerlukan, tetapi fikiranku kosong untuk menaip apa-apa kalam pun. Kemudian aku teringat akan sesuatu benda lain, yang berkaitan dengan Lina.

'Kecil, benda apa yang kecil tapi hebat?'

'Hah! Pituitari!'

Pituitari, sejenis kelenjar yang terdapat pada otak. Kecil sangat saiznya! Kelenjar pituitari ini akan menghasilkan hormon, yang secara amnya dikenali sebagai hormon pituitari. Kerana hormon pituitari inilah, hormon-hormon lain turut dihasilkan dan dirembeskan.


Image result for pituitary gland
Yang berwarna kuning itulah kelenjar pituitari. Kecil sangat kan?

Pernah dengar tak orang selalu cakap, yang orang kurus keding, makan banyak-banyak pun tak gemuk-gemuk sebab metabolismenya tinggi? Metabolisme yang dikatakan itu, 'hormon-hormon lain' itulah yang menghasilkannya, namanya hormon tiroid. Lepas itu, adik-adik atau anak-anak yang semakin membesar dan meninggi itu, 'hormon-hormon lain' itu jugalah punya kerja, hormon pertumbuhan namanya.

Hormon pituitari itu sendiri pun banyak fungsinya untuk badan selain mengarahkan penghasilan hormon-hormon lain, contohnya mengekalkan air dalam badan supaya badan tak kurang air, menghasilkan susu badan buat ibu mengandung, dan memudahkan para ibu ketika bersalin.

Banyak, banyak sangat dan semuanya penting-penting belaka! Ada lagi fungsi-fungsi lain yang aku tidak sebutkan di sini. Dan paling utama, segala fungsi yang banyak dan penting itu, dilakukan oleh sang kelenjar pituitari yang kecil ini!

Ya, kukira inilah idola terbaik buat Lina.

Aku terus mencapai telefonku lalu membalas pertanyaannya,

"Waalaikumussalam Lina. Minta maaf Lina sebab balas lambat. Ini pendapat Nadiah:

Lina, dari segi luaran, mungkin orang nampak Lina biasa-biasa saja, dan fikir Lina tak mampu berperanan lebih macam orang lain sebab Lina rendah dan comel. Tapi Lina ingat kan 'lecture' tajuk 'pituitary hormones'? Lina tahu kan betapa kecilnya 'pituitary gland' tu, tetapi banyak fungsinya yang penting?

Tengok, walaupun 'pituitary gland' itu amat kecil, tetapi kerana dia tahu apa kelebihan 'diri'nya, dia ekspresikan kelebihannya. Kesannya manusia dapat manfaat.

Jadi Lina, kalaulah 'pituitary gland' itu saja ada kelebihannya, apatah lagi Lina yang sebaik-sebaik kejadian! Nadiah yakin Lina mesti ada kehebatan tersendiri, lagipun bukan boleh main-main dengan orang kecil dan comel ni! Dah banyak kali insan-insan macam Lina ni membuka mata dan minda Nadiah sepanjang hayat ni. Carilah, dan yakinlah akan kelebihan Lina, dan ekspresikan potensi itu buat semua orang. Semoga daripada itu, Lina akan tahu bahawa dunia, sedang memerlukan Lina! 

Dah habis! Maaflah panjang sangat. Semoga penjelasan ni bermakna buat Lina."

Beberapa minit selepas itu, mesej baharu masuk. Oh, Lina yang membalas!

"TERIMA KASIH NADIAH! Memang umpph sangat! Sayang Nadiah!"

Alhamdulillah, sayang Lina juga. Akhirnya berhasil juga menjadi kaunselor tak bertauliah.

Sayang juga buat sang pituitari!

Demam

Peperiksaan Professional 1 hanya berbaki satu subjek sahaja lagi. Aku bersyukur kerana telah selesai menghadapi dua daripada tiga subjek bagi peperiksaan tersebut. Aku ingin berusaha sebaik yang mampu. Namun, ada pula ujian lain yang tiba.

Tidak, aku bukan tidak mahu belajar, bukan juga berasa terlalu pandai hingga berasa selesa apabila tidur lama-lama.

Tetapi kerana demam yang menimpa diri ini.

Sudahlah aku ini seorang yang sukar fokus ketika belajar dengan perut kosong, ditambah pula dengan demam yang mula menambahkan ujian kehidupan ketika ini. Bertarung dengan kelemahan sendiri, akhirnya tertidur jua, tanda tewas dalam pertarungan.

Setiap hari, setiap kali, pertarungan yang sama, pengakhiran yang sama.

Aku membela diri sendiri,

'Alah, tak perlu rasa bersalahlah, orang demam kenalah banyakkan berehat untuk sembuh. Kesihatan tu bekalan penting selain bekalan ilmu ketika peperiksaan.'

Kemudian, sisi fikiranku yang lain mula mengingatkan daku akan sebuah status di Facebook yang bertajuk "Demam" coretan Dr. Amalina Nudin, seorang doktor dan juga penulis buku,

"Kadang-kadang, seorang pesakit perlu sangat bersyukur dia menjadi pesakit. Apabila dia demam, ada orang 'acknowledge' yang dia tu demam. Dia boleh berehat diatas katil.

Doktor. Walau tahu diri sendiri demam. Pun macam tak layak nak berlemah dan nak cakap diri sedang demam. Sukar untuk orang memahami. Sukar untuk orang layan dan dapat berehat.


Hmm. Inilah hakikatnya."


Aku kira, kalau seorang doktor itu tidak boleh lagi melayan demamnya, aku sebagai pelajar perubatan pun sepatutnya berlatih untuk menjadi sedemikian dari sekarang!

Sedih, namun, inilah jalan yang aku pilih. Jalan yang aku harapkan bakal melakar dengan sebaik-baik lakaran untuk lukisan kehidupanku.

Ini, merupakan ujian pertama buat perjalananku sebagai seorang pelajar perubatan, dan mungkin juga sebagai seorang doktor secara keseluruhan.

Lalu, apa kesudahannya?

Aku teruskan belajar juga selagi kudrat dan kekuatan masih ada, dan berehat bila kudrat benar-benar sudah tiada. Lagipun, tinggal waktu ini sahaja yang aku perlu berhempas-pulas pun! Dan, banyak lagi tajuk yang belum kuulang kaji, walaupun hakikatnya sudah banyak tajuk yang dibaca.

Musim peperiksaan professional, musim yang menguji diri.

Saturday, May 5, 2018

Menariknya Debat Embriologi & Quran

Tanggal 27 April 2018, ketua 'batch' telah menghantar satu gambar di 'Whatsapp group'. Aku mula memuat turun gambar tersebut. "Oh, arahan mengenai seminar Anatomi sudah ada di GOALS!" Aku bermonolog sendiri sambil membaca apa yang tertulis di gambar berupa 'screenshot' itu.

Buat pengetahuan pembaca, GOALS atau Global Open Access Learning ialah sebuah portal yang sentiasa dilayari oleh pelajar USIM untuk mengetahui info-info tugasan, memuat turun 'lecture note' dan memuat naik tugasan.

Sedikit pengenalan juga berkaitan seminar. Di Fakulti Perubatan USIM, terdapat beberapa bentuk pembelajaran yang terdapat di sini. Selain 'lecture', terdapat juga TBL (Team-Based Learning, yang dahulunya tutorial di kelas-kelas kecil), tutorial (hanya untuk subjek perubatan yang 'kecil' seperti Histologi & Embriologi), SDL & SLP (Self-Directed Learning & Self-Learning Package, kebiasaannya untuk tajuk yang agak ringan dan pelajar perlu belajar sendiri tanpa bimbingan pensyarah), PBL (Problem-Based Learning, pelajar akan mendapat 'trigger' pertama berupa 'complaint' daripada pesakit dan pelajar perlu berbincang dan mengenalpasti penyakit yang dialami pesakit tersebut sehinggalah mendapat 'trigger' yang seterusnya dan 'trigger' terakhir, yang mana penyakit sebenar mula diketahui. Hanya diadakan 2 sesi bagi 1 semester), dan yang terakhir, yang berkaitan dengan ceritaku hari ini, seminar. Seminar hampir sama dengan 'lecture', tetapi bezanya, pelajarlah pensyarah pada waktu tersebut. Pensyarah ketika itu hanyalah sebagai pemerhati dan akan memberi komen di akhir seminar.


"Seminar Embriologi dan Quran. Setiap kumpulan (yang sedia ada) perlu dibahagikan lagi kepada 2 kumpulan kecil. Contoh: Kumpulan 1a dan 1b. Kumpulan 1a akan fokus tentang embriologi berdasarkan perubatan moden, dan berdebat dengan kumpulan 1b, yang akan mempertahankan pandangan mereka berdasarkan al-Quran dan sunnah." 
'Apa? Debat? Sudahlah kena berdebat antara perubatan moden dan Quran Sunnah, mana mungkin boleh berdebat kalau kedua-duanya bergerak seiring?' Getus hatiku dengan rasa, tak tahulah nak kata macam mana.

Tiba ke tajuk debat,

"Kumpulan 6: Proses Kejadian Anggota Tubuh Badan Dari Segi Masa"

'Oh okey,' sebelum bergerak mencari maklumat, memanglah okey. Bila tengah mencari, baru tahu okey ke tak okey. Jujur, susah betul nak jumpa maklumat yang diperlukan untuk tajuk ini di internet.

Sesama rakan, semuanya kelihatan 'mati akal'.

'Apa yang patut kita perdebatkan?'

'Aku pun tak tahu.'

Alhamdulillah, mujur ada buku Quran Saintifik yang ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin. Itupun lambat juga sedar bahawa maklumat yang tertera sebenarnya ada kaitan dengan tajuk debat kami.


Inilah bukunya
Dan Alhamdulillah, pada malam sebelum debat, kami temui juga isi-isi yang diperlukan, dan pastinya berkaitan dengan tajuk.
*****

Pada hari Khamis, 3 Mei 2018, Alhamdulillah, debat kumpulanku berjalan dengan lancar. Pensyarah-pensyarah juga memberi respon positif bagi semua kumpulan.

*****

Banyak sangat ilmu yang aku peroleh daripada tugasan debat ini, daripada proses mencari maklumat sehinggalah di akhir seminar.

Pertama, mestilah isi debat itu sendiri. Tajuk debat kumpulan aku ni, bukan kumpulanku sahaja yang mengatakannya susah, malahan kumpulan lain juga! Nampak tak betapa susahnya tajuk kami? Namun yang susah itulah yang amat terasa nikmatnya bila temui jawapan! Nak tahu apa yang kami bincangkan ketika debat?

Tajuk: Proses Kejadian Anggota Tubuh Badan Dari Segi Masa

1. Kejadian manusia secara berperingkat atau serentak?

- Perubatan moden: 

Seperti yang kita tahu, manusia dijadikan secara berperingkat. Tetapi tahu tak, zaman dulu-dulu yang mana belum ada teknologi moden lagi untuk mengkaji kejadian manusia dalam rahim ibu, Hippocrates, tokoh yang dikenali sebagai bapa kedoktoran, ada berpendapat bahawa manusia ini dijadikan serentak. Wah, ada juga pendapat macam ni! Namun, selepas itu, kajian sains dah berjaya membuktikan bahawa manusia dijadikan secara berperingkat, dan secara tak langsung menyangkal teori Hippocrates.

- Quran Sunnah:

Ini ialah dalil daripada Surah Nuh ayat 14 yang bermaksud:

"Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?"

Dan dalil daripada Surah al-Mukminun ayat 14 menerangkan peringkat kejadian itu:


"Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi
seketul daging kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."

MasyaAllah, al-Quran yang wujud sebelum ada teknologi canggih lagi pun dah beritahu dulu bahawa manusia ini dijadikan secara berperingkat, kemudian barulah sains moden membuktikannya! Nampakkan mukjizat al-Quran di situ? 

2. Antara deria pendengaran, penglihatan dan akal, yang mana yang datang dulu? (Tapi hanya fokus kepada pendengaran dan penglihatan)

- Perubatan moden:

Dalam ilmu embriologi, telinga yang terbentuk dulu sebelum mata dan bahagian kepala. Selain itu, bayi boleh mendengar sejak dari dalam rahim lagi manakala penglihatan pula, bayi dapat melihat dengan sempurna selepas dilahirkan. Berhubung dengan pendengaran, terdapat sebuah kajian yang dilakukan di Fakulti Sains Kesihatan Queen menunjukkan janin dalam rahim boleh mendengar suara mereka yang bercakap kepadanya ketika berumur 30 minggu. Terdapat juga kajian lain yang membuktikan bahawa janin dalam rahim ibu berkemampuan untuk mendengar dan melihat ketika mencapai umur 20 minggu. Pentingnya hal ini kerana para ibu boleh melakukan pendidikan pra-kelahiran ketika masih mengandung. Untuk penglihatan pula, terdapat kajian menyatakan janin mampu melihat ketika berumur 7 bulan dalam rahim.

- Quran Sunnah:

Berikut merupakan dalil daripada Surah as-Sajdah ayat 9

"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur."


Nampak tak dalam dalil ini, Allah menyebut pendengaran dulu, kemudian penglihatan dan seterusnya hati (akal fikiran)? Pasti ada sebabnya, dan bukti dari sains tadi mungkin boleh jadi salah satu daripadanya.

Sebab itulah dalam Islam, adalah disarankan kepada para ibu untuk membaca al-Quran dan memperdengar segala yang baik-baik ketika sedang mengandung. 

3. Kejadian tangan dan kaki

- Perubatan moden:

Secara ringkasnya, proses pembentukan tangan dan kaki bermula pada minggu ke-5. Ketika ini, 'cartilage' atau tulang rawan mula terbentuk. Kemudian pada minggu ke-7, barulah tulang keras mula terhasil. Selepas itu, proses berlangsung sehinggalah terbentuknya tangan dan kaki.

- Quran Sunnah:

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari:

Daripada Ibn Mas'ud, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: Sesungguhnya salah seorang antara kamu dikumpulkan kejadiannya dalam rahim ibunya selama 40 hari. Kemudian bertukar menjadi alaqah seperti demikian itu. Selepas itu bertukar menjadi mudghah seperti demikian itu. Kemudian diutus malaikat kepadanya dan ditiupkan roh ke dalamnya."

Sebenarnya panjang penjelasan mengenai hadis ini, tetapi, secara ringkasnya, hadith ini menjelaskan bahawa proses kejadian 'alaqah' (darah beku) sehingga 'mudghah' (daging) memakan masa lebih kurang 40 hari.

Terdapat sebuah lagi dalil daripada Surah al-Mukminun ayat 14:


"... kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; ..." 

Berdasarkan kedua-dua dalil di atas, secara kesimpulannya, proses 'alaqah' (darah beku) bertukar ke 'mudghah' (daging) mengambil masa lebih kurang 40 hari. Selepas 40 hari, barulah proses 'mudghah' bertukar ke peringkat seterusnya iaitu terbentuknya beberapa tulang, yang mana tulang di sini merujuk kepada kejadian tangan dan kaki. Bermakna, tangan dan kaki terbentuk selepas hari ke-40.

Minggu ke-7 (mengikut perubatan moden) ≈ Selepas hari ke-40 (berdasarkan hadis).

Nampak tak perkaitannya?

*****

Kedua, ialah ilmu selain isi untuk debat. 3 pengajaran teragung yang aku dapat:

1. Apa yang termaktub dalam al-Quran dan apa yang tersurat di kaca mata sains sememangnya selari. Lebih-lebih apabila dalil itu kelihatannya tidak menceritakan kejadian itu secara langsung. Namun melalui pembacaan, pemahaman serta perbincangan yang mendalam, sebenarnya secara tidak langsung, dalil itu selari dengan perubatan moden yang kami belajar sebenarnya! Menarik bukan?

2. Perasan tak duhai pembaca, jika dibandingkan isi-isi yang berasaskan perubatan moden dan Quran Sunnah, kedua-duanya seolah-olah saling menyokong antara satu sama lain? Ya, memang pun. Jadi adakah mampu untuk diperdebatkan? Sudah tentulah tidak, malah kami para pelajar ketika itu hanya duduk sahaja seperti debat, tetapi saling menyokong sesama kumpulan (tidak membangkang). Aku pun tak tahu apa tujuan pensyarah meletakkan tugasan ini sebagai 'debat', tetapi pendapat aku, mungkin para pensyarah mahu membuatkan kami tertanya-tanya dahulu adakah perkara ini mampu didebatkan, kemudian membiarkan kami berusaha mencari maklumat sehinggalah berputus asa untuk menjadikannya debat yang sebenar (saling mematahkan hujah), dan dari situlah baru betul-betul nampak yang dalil naqli (Quran dan hadith) dan sains sememangnya seiring! Sangat jelas kelihatan, masyaAllah!

3. Aku masih ingat, ketika aku menonton debat daripada kumpulan lain, aku masih teringat akan hujah seorang kawan aku ini, "Dalil Quran ada menyebut tentang perkara ini, tetapi sains menambahkan lagi rencah kepada fakta dalam al-Quran". Itu mungkin pandangannya. Aku pula, mendengar ayat itu, terus aku teringat apa yang aku faham melalui pembacaan buku Quran Saintifik,

'Ayat al-Quran ini, adakalanya sengaja dibiarkan keterangannya setakat itu sahaja. Boleh sahaja Allah menerangkan sedalam-dalamnya, tetapi ada yang kalam-Nya hanya dibiarkan setakat itu kerana ayat tersebut menuntut manusia untuk mencari dan mengkaji lebih banyak ciptaan Allah yang ada!'

Contohnya, dalam Surah al-Insan ayat ke-2 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nuthfah yang bercampur."

Dalam ayat ini, Allah hanya menyatakan bahawa manusia dijadikan daripada 'nuthfah' (air mani) tetapi tidak dinyatakan bahan apa yang bercampur dengannya itu. Inilah yang menuntut manusia untuk mengkaji. Setelah dikaji, 'nuthfah yang bercampur' ialah percantuman benih lelaki (sperma) dengan benih wanita (ovum) yang terdapat dalam cecair dalam ovari.

Tamat. Mohon maaf andai tersilap kata.

Rujukan: Quran Saintifik Edisi Kemas Kini - Dr. Danial Zainal Abidin