Friday, June 29, 2018

Lemah (Bahagian Akhir)

Pada jam 8.30 pagi, aku dan kawan-kawan yang terpilih untuk menghadiri viva sudah berada di fakulti. Sementara menunggu jam 9.45 pagi untuk pergi ke tingkat 13, kami mengulang kaji dahulu di bilik risas (resuscitation room).

Satu kumpulan belajar Biokimia, satu lagi kumpulan belajar Anatomi. Aku yang perlu menghadiri kedua-dua borderline viva ini, kena menyertai kedua-duanya. Sekejap mendengar kumpulan yang belajar Anatomi, sekejap menghalakan telingaku ke arah kumpulan satu lagi pula. Dan kitaran itu terus berlaku. Pening.

Terlalu banyak untukku perlu ulang kaji. Sesekali kepala ini berasa tepu.

"Banyaklah nak kena tengok, tak tahu dah nak baca apa. Patutkah aku berhenti baca?" Tanya aku dengan nada sedikit mengeluh.

"Baca je, Nadiah. Kalau tepu yang awak rasa, memang tepulah jadinya," balas Amirah.

"Haah, betul tu," Zulfa menyokong kata-kata Amirah.

Aku menurut saja apa-apa yang dikatakan mereka itu. Aku abaikan rasa tepu di kepala lalu meneruskan ulang kaji pelajaran. Lagipun, aku tahu bahawa aku kena lulus dalam peperiksaan profesional 1 ini. Ya, KENA LULUS.


*****

Semua pelajar yang terpilih sudah berada di dalam ruang menunggu di tingkat 13. Masing-masing menanti giliran dengan penuh debaran.

"Nur Nadiah Nadhirah ada ke?" Miss Rani, pensyarah Anatomi muncul di depan ruang menunggu.

Aku mengangkat tangan.

"Okey, mari ikut saya," Miss Rani mengajakku lembut lalu membawaku ke tempat viva Anatomi.

Masanya sudah tiba. Dengan fikiran yang kosong kerana gementar yang terkawal, dengan jiwa yang terkandung di dalamnya segunung harapan, aku memasuki bilik viva itu. Kelihatan tiga orang pensyarah Anatomi sebagai penilai sedang duduk sambil menanti kehadiranku. Terdapat sebuah kotak besar di atas meja, mungkin diisi dengan tulang-tulang agaknya.

"Assalamualaikum, Doctor," aku memberi salam.

"Waalaikumussalam, have a seat," balas Dr. Hisyam seraya menjemputku duduk di sebuah kerusi tunggal yang berada bertentangan dengan ketiga-tiga penilai itu.

Maka bermulalah sesi viva untuk Anatomi.


*****

Habis sudah viva Anatomi. Aku tidak dibenarkan untuk kembali ke ruang menunggu walaupun perlu menunggu giliran untuk satu lagi viva. Oleh itu, aku diminta untuk menunggu di ruang pejabat kak Suhani.

Aku duduk di sofa yang berdekatan. Kemudian Miss Que, pensyarah bahasa Inggeris memasuki pejabat. Aku memberi salam terlebih dahulu,

"Assalamualaikum Miss."
"Waalaikumussalam. Eh, hi! Who are you waiting for?" balas Miss Que dengan ceria sambil duduk di sofa yang lain.
"Oh, I'm actually waiting for my turn in viva."
"Oh, you got viva? Good luck!"
"Thanks, Miss! Pray for me, Miss. You know what? I got two borderline vivas! And I'm terribly nervous now."
"It's okay. As long as you know what you're saying, you'll make it. Don't worry, I pray for you!"
"Thanks again, Miss!" Diriku ketika ini bagaikan telefon yang baru dicas setelah bateri kian surut. Terasa semakin positif!

'As long as you know what you're saying, you'll make it.'

Baik, Miss. Akan kusemat kata-kata ini.


*****

Giliranku sudah tiba. Viva untuk Biokimia diadakan di bilik mesyuarat. Suasana bilik mesyuarat yang amat besar itu kelihatan begitu gah sekali, menambahkan lagi rasa gementar di hati. Ada sebuah meja besar, dikelilingi kerusi-kerusi yang banyak. Terdapat dua orang pensyarah Biokimia sebagai penilai dalaman dan seorang penilai luaran. Dr. Nazefah, pensyarah Biokimia dan juga penilai dalaman ketika itu, menjemputku duduk di mana-mana kerusi yang bertentangan dengan mereka.

Maka viva pun bermula.


*****

Syukur, aku berjaya menghabiskan kedua-dua viva dengan sehabis baik walaupun tidaklah selancar mana, dan ada juga beberapa soalan yang aku tidak dapat jawab. Kini aku sudah berada di dalam bilikku, tapi tidak mampu tidur pula seperti yang dirancang pagi tadi.

Aku pun membuka aplikasi Whatsapp dalam telefonku. Dari semalam sehingga pagi tadi, Whatsappku dihujani dengan doa dan kata-kata semangat daripada kawan-kawanku agar aku lulus dalam viva. Ada yang aku sempat balas semalam, ada juga yang aku baru berkesempatan untuk balas ketika ini. Sekali lagi, aku amat terharu dengan mereka. Kadang-kadang, terasa juga diri ini seperti artis yang membalas mesej Whatsapp daripada peminat. Ahah!

Usai membalas kesemua mesej Whatsapp, secebis memori berkaitan viva pagi tadi mula bermain dalam fikiran dan terngiang-ngiang di telinga.

"Good luck, Nadiah. You have done very well just now!" Kata Miss Rani sebaik sahaja beliau membawaku keluar daripada bilik viva setelah tamat viva.

"No, it's okay. Actually you've already done well, especially during metabolism part," kata penilai luaran viva Biokimia kepadaku setelah aku memohon maaf ketika di penghujung viva.

'Adakah kata-kata yang dilantunkan itu benar-benar seperti yang dimaksudkan?' 
'Mungkin agak kejam sekiranya kata-kata itu semua hanyalah penyedap hatiku sahaja, lebih-lebih lagi ketika aku berada dalam situasi sebegini.'
'Tetapi, boleh jadi juga, bukan?'

Aku resah kembali. Tidak lama kemudian, kata-kata Syahida pula yang terbit di lapangan fikiran,

"Ada senior seorang tu, dia boleh jawab semua soalan, tapi tengok-tengok, dia tak lulus viva. Nasib baik akhirnya dia lulus juga subjek tu, tapi selepas kena supplementary exam. Ada senior lain pula, hanya 3 daripada 5 soalan saja yang dia boleh jawab, tapi akhirnya, dia lulus viva. Tak tahulah penilaian untuk viva ni macam mana sebenarnya, mungkin bergantung kepada nasib kot."

Andai begitulah gayanya, aku hanya mampu berserah kepada Allah. Hanya Dia yang Maha Berkuasa Atas Tiap Sesuatu. Mungkin lulusnya aku dalam kedua-dua viva dan pro exam dianggap mustahil dan ajaib di bayangan fikiranku, tapi tidak di pandangan-Nya.

'Allah, persaksikanlah bahawa aku telah berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakkal kepada-Mu. Sesungguhnya aku memang nak lulus dalam pro exam 1.' 

4 comments:

  1. Nadiah, cerita Nadiah berjaya menyentuh hati Sarah. I literally cried reading your story. Congratulations, Nadiah! Sesungguhnya, semua insan di atas muka bumi ini adalah lemah kerana Yang Maha Kuat adalah Allah Yang Esa. Namun, kita diberi pilihan sama ada untuk terus menjadi kuat atau biarkan diri kita lemah. Tahniah Nadiah kerana memilih untuk menjadi kuat walaupun pada hakikatnya, Sarah tahu, tidaklah semudah yang disangkakan untuk menahan jiwa dan mental daripada terus jatuh tersungkur. Kalau Nadiah nak tahu, Sarah adalah orang yang paling gembira bila mendengar nama Nadiah lah orang pertama yang disebut lulus pro exam. Kerana Sarah rasa serba salah sangat tak tolong Nadiah buat apa-apa persediaan pada malam sebelum viva. Sarah minta maaf sangat-sangat kerana tidak menjadi kawan yang baik :(

    Walau apapun, tahniah Nadiah! You did it very well! Teruskan yakin dengan diri sendiri kerana Allah adalah mengikut sangkaan hamba-hamba-Nya. Giving up isn't a choice in the end. Jom, sama-sama habiskan perjuangan yang telah kita mulakan ini.

    And terima kasih juga kerana berjaya menyentuh hati Sarah melalui kisah-kisah Nadiah. Banyakkan lah post lagi, seronok baca! Atau buat buku keeee hehehe. I will always support you, Nadiah.

    Love,
    Sarah <3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saraaah, ayaq mata Nadiah dah bergenang lepas baca komen Sarah ni. Serius! 😢

      Takpa, Sarah. Tak perlu rasa serba salah pun. Sebenaqnya, Sarah pun antara penyumbang ke arah kejayaan Nadiah ni, tapi secara tak langsung. Nanti Nadiah cerita lain kat Whatsapp okey.

      Alhamdulillah, semua ni daripada Allah. Daripada mula-mula nak redha, kemudian tengah viva, sampailah dapat result, semuanya Allah tolong. Nadiah ni tak dak apa-apa pun sebenaqnya. ☺

      Sama-sama. Terima kasih jugak sebab rajin baca entri-entri kat blog Nadiah ni. InsyaAllah kalau Nadiah ada idea lagi, nanti Nadiah publish entri baru. Harap dapat bagi inspirasi kat Sarah untuk publish entri baru kat blog Sarah pulak. Buat buku? Waahh Aamiin. Doakan. 😆

      Love,
      Nadiah 💕

      Delete

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.