Coretan

Bukan Lagi Kali Ini

Telingaku dialuni
bait nasihat yang murni,
Hingga sang atma dijentik
tuk menjadi lebih baik,
Namun,
Semangatku cuma seketika.
 
Cemburu mula melantuni nurani
akan mulianya pemergian insani
menuju alam yang abadi,
Hingga mengingatkanku
tuk kembali baiki amalanku,
Namun,
Keinsafanku cuma sementara.
 
Kini aku lelah,
Akan naik turun yang tak berkesudah,
Ada masa aku berubah,
Ada masa kukembali jahiliah,
Sungguh, takkan ku menyerah lagi!
Kuharus temui solusi,
agar tak tersungkur lagi
dari dakapan Ilahi,
Dakapan Tuhan sebaik-baik nikmat,
Takkan kulepas lagi walau sesaat!
Seorang mukmin yang bitara,
Jatuh tiada ke lubang yang sama
buat kedua kalinya.
 
Ya, dahulu jatuhku berulang kali,
Tapi tiada lagi
buat kali ini.

NUR NADIAH NADHIRAH BINTI ZAINOL
Tempat Pertama Pertandingan Karya Kreatif
Bulan Bahasa
Anjuran JAKSA Kolej Kediaman Pandan, USIM.

Citra Bahasa, Penyemai Cinta Si Anak Watan

Terbitnya cahaya persoalan
Menerangi buana fikiran,
Tentang siapakah gerangan insan,
Yang mencipta bahasa Melayu,
Hingga menjadi wasilah ilmu,
Lalu menjadi amalan selalu,
Jua menyemai adab dalam setiap perilaku,
Apabila ilmu tersemat kemas di kalbu?
Siapakah pencipta bahasa itu,
hingga Islam kian difahami ketika itu,
Lalu membentuk akidah yang jitu,
Dek kitab agama yang diterjemah tanpa jemu?
 
Cahaya persoalan si anak watan,
Biar belum temui jawapan,
Namun terbenam menyuluh ruang perasaan,
Menyemai cinta yang mapan,
Buat bahasa Melayu, bahasa kebangsaan,
Catatan Melayu Kuno di prasasti Funan,
Ilmu sains dan matematik kemas tersimpan,
Itulah kegemilangan bahasa kebangsaan,
Yang membenih kagum tak bersempadan.
 
Kesedaran mengakar umbi di persada jiwa,
Andai bahasa Melayu wujud tiada,
Tiadalah yang menterjemah kitab agama,
Tiadalah ilmu buat amalan kendiri,
Tiadalah adab menghiasi peribadi,
Tiadalah fahaman mantap dalam diri,
Tentang Tuhan yang Maha Abadi,
Rasa cinta akan citranya ini,
Tiada mampu dileraikan lagi.

NUR NADIAH NADHIRAH BINTI ZAINOL
Tempat Kedua Sayembara Menulis Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan 2015
Peringkat Wilayah Utara (Kategori Terbuka),
Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.

Simfoni Kehidupan

Telefon pintar kucapai pantas,
Kulayari laman sosial yang jua pantas,
Menatap maklumat yang sarat
buat minda yang belum sarat,
Kulihat ruangan komen,
Meniti dari kata ke kata,
Berperang entah bila sudahnya,
Dek fikrah yang berbeza,
Makinya berjela-jela.
Dek teguran diberi padanya,
Oh, itulah ustaz media!
Baik buruk berita itu tiada dikira,
Kesalahan tetap dicari sang mata.
Dahi ini kutampar tiba-tiba
walau tiada nyamuk bertapa!
 
Mahunya aku untuk menegur,
Lalu kuingat guruku bertutur,
Agar tidak melewati kancah itu,
Hanya mampu capai pena di situ,
Kunukil rasa yang amat jitu,
Wahai ummah kumulakan kalimah,
Sampai bila mahu terus lemah,
Jika hari-hari bertelagah?
Berada di era gajet yang giat ditaip,
namun fikrahmu tetap di lembah stereotaip?
Hanya tahu mengkritik,
namun pantang dijentik terus mengherdik?
 
Andai ladang minda sebuah
masih belum merdeka aman,
Kemerdekaan sebuah negara bertuah,
mampukah kalian kekalkan?
Andai mahukan perubahan,
Bangkitlah dari persepsi murahan!
Kikislah ego terimalah teguran,
Biarkan fikrah berbagai-bagai
mewarnai kota hayat bak mahligai,
Bukan hanya beri kritikan
namun tak mampu bantu anak watan!

Moga lembaran berisi luahan ini,
Bakal dipamerkan jasadnya
buat hadaman ummah,
Agar sayap horizon minda terbuka luas,
Lalu berterbangan
hatta menggubah simfoni kehidupan
yang sekian lama mendatar.

NUR NADIAH NADHIRAH BINTI ZAINOL
Tempat Kedua Sayembara Mengarang Puisi & Cerpen 2015
Peringkat Tamhidi (Kategori Puisi),
Anjuran Lajnah Kepimpinan & Kebudayaan SPT USIM.

Irama Perpaduan

Saat butang piano mula ditekan,
Bermulalah kisah si anak Melayu,
Berjalan-jalan di sebalik bunga-bunga yang berwarna-warni,
Senyuman menguntum,
Andai sahaja dapat hidup seperti bunga itu.
 
Irama piano mula merancak,
Kisah harmoni mula bersemi,
Si anak Melayu didatangi,
dua kanak-kanak yang berbeza warna kulit mereka,
Bermainlah mereka di taman perpaduan,
Jari melompat dengan girangnya,
Semakin rancak irama terhasil,
Hilaian tawa mula didengar,
Tercapai jua impian si anak Melayu.
 
Nada mula perlahan,
Si anak Melayu tersungkur,
Dek jatuh tersepak batu,
Dua sahabat datang membawa penawar,
Keharmonian tercetus kembali,
Seiring dengan irama yang merdu kembali,
Mereka yang ada di situ,
Duduk sama rendah berdiri sama tinggi,
Bergenang biarlah bertiga,
Berderai biarlah bersama.
 

Pabila irama kembali perlahan,
Berminit-minit berdetik-detik,
Si anak Melayu terus menanti,
Di mana taman perpaduan,
yang dilihatnya semasa lembut kuku kakinya dahulu,
Si anak terus menanti,
Berakhir kisah irama terhenti.

NUR NADIAH NADHIRAH BINTI ZAINOL
Diterbitkan dalam Jendela Utara Dewan Bahasa & Pustaka, April 2013