Friday, June 29, 2018

Lemah (Bahagian 2)

"Nadiah, kau ada siapa-siapa tak untuk balik sekali?" Tanya Zulfa, salah seorang kawanku yang mengerumuniku sebentar tadi.

Aku geleng, lalu Zulfa mengajakku pulang dengannya menaiki Grab bersama-sama lagi dua orang kawanku.

Kami turun ke aras 1 dengan lif. Usai tiba di aras 1, aku sambung menangis sementara menunggu kereta Grab sampai di depan fakulti. Iyalah, hati siapa yang tidak berkecai apabila mendapat tahu tentang kegagalan, lebih-lebih lagi dalam peperiksaan besar yang melibatkan repeat year sekiranya gagal (termasuk gagal viva).

Belum sempat kesedihan ini reda, telefonku berdering. Nombor pejabat tertera di skrin.

Aku menjawab panggilan.

"Helo, Assalamualaikum," aku memulakan perbualan.
"Waalaikumussalam, ni Nadiahkah?"
"Ya, saya."
"Ni kak Su ni. Nadiah kena datang untuk viva esok ya untuk subjek Biochem."

Dugaan baharu pula yang menimpa. Aku cuba untuk kelihatan tenang ketika itu lalu meneruskan perbualan,

"Oh. Err pukul berapa ya, kak?"
"Pukul 10 pagi."
"Err tapi saya ada viva Anatomy juga esok."
"Ya, akak tahu. Datang je pukul 10, nanti akak arrange lain macam mana."
"Oh okey. Terima kasih kak. Assalamualaikum."

Perbualan berakhir. Aku terus memberitahu kawan-kawanku yang berada di situ bahawa kak Su sudah mula menghubungi pelajar yang terpilih untuk menghadiri viva Biokimia supaya mereka bersiap sedia.

Aku sambung menangis. Kali ini, tangisanku semakin kuat lantaran mendapat panggilan viva sebentar tadi. Sekali lagi, kawan-kawanku cuba menenangkanku.

Beberapa minit kemudian, kereta Grab sudah sampai di hadapan fakulti. Hujanan air mata yang bercurahan membasahi dataran wajah menemaniku sepanjang perjalanan pulang ke kolej.

'Adakah ini mimpi? Tidak, ini realiti!' Rintih sang nurani seakan tidak percaya.

 *****

Tiba di bilik tidur, badanku terasa lemah sekali. Langkahku amat longlai, belum pernah lagi selonglai itu sebelum ini. Namun kugagahkan jua untuk sembahyang Asar.

Usai sembahyang, aku duduk di hadapan meja belajar di ruang tamu untuk mencari ketenangan. Aku berdiam diri. Dengan wajah yang bermuram durja, aku merenung seraya mencari kekuatan untukku terus tabah. Sesekali ada juga kawan-kawan serumahku yang kebetulan sedang lalu berdekatan, berhenti kepadaku untuk memberi kata-kata semangat. Aku hanya mampu membalas keprihatinan mereka dengan senyuman yang tidak menjadi serta air mata. Ya, aku sangat lemah.

'Aku nak belajarlah. Aku rasa itulah sumber kekuatanku buat masa kini, tetapi ada ke yang sudi mengajarku di saat semua orang keletihan sekarang ni?' Bisik hatiku.

Tidak lama kemudian, Fathimah, kawan sebilikku menyapa,

"Nadiah, Nadiah nak belajar ke? Nadiah nak Fathimah ajar apa? Anatomy ke Biochem? Fathimah okey je nak ajar mana-mana subjek pun."

Allahuakbar. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Terasa hati yang jatuh dihempap tadi, kini diangkat kembali!

"Betul ke ni, Fathimah? Kalau sekarang boleh tak? Nak belajar Biochem," aku membalas.

"Haah, boleh. Nak Biochem eh? Okey, Fathimah ambil lecture note kejap," ujar Fathimah.

Kami berdua pun belajar Biokimia sama-sama. Walaupun keletihan itu masih terasa, sekurang-kurangnya aku sudah memperoleh sedikit kekuatan.

Ketika itu, ada juga beberapa kawanku yang menawarkan diri untuk mengajarku selepas sembahyang terawih nanti. Mereka ialah Amirah, Zulfa, Aina dan Ummu Hani. Aku amat terharu dengan sikap tidak lokek ilmu mereka itu.

*****

Aku baru sahaja selesai sembahyang terawih di dalam bilik. Sebaik sahaja aku menyangkut telekung, aku keluar menuju ke ruang tamu untuk menunggu Zulfa dan Amirah. Tiba-tiba,

"Eh, Nadiah!" Syahida menyapaku.
"Eh, Ida! Rajinnya datang sini! Ada apa datang ni?" Aku balas sapaannya dalam keadaan sedikit terkejut.
"Nak jumpa Nadiahlah. Ini hah, Nadia Syafiqah bagi," Syahida menghulurkan sepaket coklat jenama Milo Nuggets yang disertakan dengan sekeping kertas berisi kata-kata semangat.
"MasyaAllah terima kasih Ida. Kata kat Nadia, Nadiah ucap terima kasih tau."
"Sama-sama. Nadiah jangan risau tau. Tadi, kami satu rumah buat solat hajat untuk Nadiah!
"Sungguhlah? MasyaAllah terharunya! Rasa nak nangis," aku menuturkan rasa terharuku. Kolam mata bergenang kembali.
"Eh, alaa. Janganlah nangis," kata Syahida sambil tolong mengesat air mataku.

Aku hanya tersenyum. Maka kami pun meneruskan perbualan. Sepanjang perbualan itu, Syahida menceritakan pengalaman viva sebelum ini oleh senior-senior yang ditanyakannya pada petang tadi. Perbualan kami berakhir apabila Amirah dan Zulfa sampai ke rumahku.

*****

Study group untuk subjek Biokimia berakhir pada jam 1 pagi. Kami belajar di bilik Hajar, kawan serumahku kerana salah seorang daripada kawan sebiliknya juga menyertai kami untuk persediaan viva. Amirah dan Zulfa bingkas bangun daripada posisi duduk untuk pulang ke rumah mereka. Kami saling berbalas doa agar sama-sama berjaya dalam viva pada pagi nanti. Amirah dan Zulfa juga perlu menghadiri viva, tetapi distinction viva.

'Orang lain dah boleh tidur, tetapi tidak bagiku. Aku kena berhempas-pulas untuk Anatomi pula selepas ini, dari tadi belajar Biochem sahaja. Tetapi, siapa yang hendak mengajarku?' Detik hatiku.

Kemudian aku melihat Hajar yang sedang bermain telefon lalu pergi ke katilnya.

"Hajar, boleh tak Hajar ajar Nadiah Anatomi? Nadiah tak mampu dah nak belajar sendiri sekarang ni. Banyak sangat."

Hajar sudi untuk mengajarku. Dia mengajarku tanpa jemu walaupun sudah beberapa kali aku memintanya berhenti untuk memberi peluang kepadanya berehat dan tidur. Sehinggalah jam 3 pagi, barulah dia tidur, itupun memintaku kejutkannya semula sejam kemudian. Allah, besar pengorbanan kawanku yang seorang ini!

Hajar sudah tidur. Aku turun ke bawah untuk kembali ke bilikku. Kelihatan Shasha dan Suaidah masih belum tidur di ruang tamu.

Aku cuba untuk meminta pertolongan daripada Shasha dan Suaidah pula untuk mengajarku. Alhamdulillah, mereka juga sudi untuk mengajarku. Suaidah terus menaiki tangga menuju ke biliknya di tingkat atas untuk mengambil nota-notanya yang banyak dan berat itu.

Maka bermulalah pembelajaran Anatomiku bersama mereka berdua. Sesekali terasa berat di kepala ini namun kutahankan jua. Pada jam 5.10 pagi, aku meminta untuk berhenti kerana hendak bersahur dan beribadah sementara menunggu masuknya waktu subuh.

Ya, aku sememangnya tidak tidur langsung. Aku fikir, biarlah aku bersusah-susah dahulu, habis viva, terus tidur cukup-cukup! Semoga dengan pengorbanan ini, disertai dengan rintihan doa di setiap sembahyangku, aku dapat memanifestasikan kepada Allah bahawa aku sememangnya ingin lulus dalam viva dan pro exam, tanpa perlu menduduki supplementary exam! 

Nota kaki: Supplementary exam ialah sebuah peperiksaan yang perlu diduduki oleh pelajar yang gagal dalam peperiksaan professional sebagai peluang terakhir, sebelum disahkan untuk dapat naik tahun atau repeat year.

'Apalah agaknya yang bakal berlaku ketika viva nanti?'

BERSAMBUNG. 

No comments:

Post a Comment

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.