Wednesday, June 27, 2018

Pituitari

Hari itu, tahap positivitiku berada di paras yang begitu memberangsangkan sehingga aku menaip status ini di sebuah laman sosial,

"Andai tak terlihat kekuatan anda, biarlah aku menjadi cermin buat anda."

Kelihatan positif sungguh kan? Aku juga rindukan tahap positif sebegini kembali.

Tidak lama selepas itu, ada satu mesej baharu muncul dalam telefonku. Lina pengirimnya. Barangkali kerana respon untuk statusku tadi. Aku mula rasa teruja.

Cepat-cepat aku membuka mesej yang baru masuk itu lalu membacanya,

"Assalamualaikum Nadiah. Lina nak respon pasal status Nadiah tu. Macam ni, Lina selalu rasa rendah diri, mungkin sebab fizikal Lina sendiri yang rendah. Lina rasa macam, orang tak berapa harapkan Lina dalam kebanyakan kerja sebab Lina yang kelihatan kecil dan macam budak-budak ni. Dan orang juga tak ambil serius dengan apa-apa yang Lina katakan. Apa pendapat kau?"

Aku mula menarik nafas dalam-dalam. Inilah masanya untuk aku menjadi 'cermin' buat kawanku yang memerlukan, tetapi fikiranku kosong untuk menaip apa-apa kalam pun. Kemudian aku teringat akan sesuatu benda lain, yang berkaitan dengan Lina.

'Kecil, benda apa yang kecil tapi hebat?'

'Hah! Pituitari!'

Pituitari, sejenis kelenjar yang terdapat pada otak. Kecil sangat saiznya! Kelenjar pituitari ini akan menghasilkan hormon, yang secara amnya dikenali sebagai hormon pituitari. Kerana hormon pituitari inilah, hormon-hormon lain turut dihasilkan dan dirembeskan.


Image result for pituitary gland
Yang berwarna kuning itulah kelenjar pituitari. Kecil sangat kan?

Pernah dengar tak orang selalu cakap, yang orang kurus keding, makan banyak-banyak pun tak gemuk-gemuk sebab metabolismenya tinggi? Metabolisme yang dikatakan itu, 'hormon-hormon lain' itulah yang menghasilkannya, namanya hormon tiroid. Lepas itu, adik-adik atau anak-anak yang semakin membesar dan meninggi itu, 'hormon-hormon lain' itu jugalah punya kerja, hormon pertumbuhan namanya.

Hormon pituitari itu sendiri pun banyak fungsinya untuk badan selain mengarahkan penghasilan hormon-hormon lain, contohnya mengekalkan air dalam badan supaya badan tak kurang air, menghasilkan susu badan buat ibu mengandung, dan memudahkan para ibu ketika bersalin.

Banyak, banyak sangat dan semuanya penting-penting belaka! Ada lagi fungsi-fungsi lain yang aku tidak sebutkan di sini. Dan paling utama, segala fungsi yang banyak dan penting itu, dilakukan oleh sang kelenjar pituitari yang kecil ini!

Ya, kukira inilah idola terbaik buat Lina.

Aku terus mencapai telefonku lalu membalas pertanyaannya,

"Waalaikumussalam Lina. Minta maaf Lina sebab balas lambat. Ini pendapat Nadiah:

Lina, dari segi luaran, mungkin orang nampak Lina biasa-biasa saja, dan fikir Lina tak mampu berperanan lebih macam orang lain sebab Lina rendah dan comel. Tapi Lina ingat kan 'lecture' tajuk 'pituitary hormones'? Lina tahu kan betapa kecilnya 'pituitary gland' tu, tetapi banyak fungsinya yang penting?

Tengok, walaupun 'pituitary gland' itu amat kecil, tetapi kerana dia tahu apa kelebihan 'diri'nya, dia ekspresikan kelebihannya. Kesannya manusia dapat manfaat.

Jadi Lina, kalaulah 'pituitary gland' itu saja ada kelebihannya, apatah lagi Lina yang sebaik-sebaik kejadian! Nadiah yakin Lina mesti ada kehebatan tersendiri, lagipun bukan boleh main-main dengan orang kecil dan comel ni! Dah banyak kali insan-insan macam Lina ni membuka mata dan minda Nadiah sepanjang hayat ni. Carilah, dan yakinlah akan kelebihan Lina, dan ekspresikan potensi itu buat semua orang. Semoga daripada itu, Lina akan tahu bahawa dunia, sedang memerlukan Lina! 

Dah habis! Maaflah panjang sangat. Semoga penjelasan ni bermakna buat Lina."

Beberapa minit selepas itu, mesej baharu masuk. Oh, Lina yang membalas!

"TERIMA KASIH NADIAH! Memang umpph sangat! Sayang Nadiah!"

Alhamdulillah, sayang Lina juga. Akhirnya berhasil juga menjadi kaunselor tak bertauliah.

Sayang juga buat sang pituitari!

2 comments:

  1. Menarik sangat! Jealous dengan cara penulisan Nadiah yang teratur dan tersusun. Keep it up, Nadiah! Btw, Sarah pun tak terfikir yang pituitary gland itu sangat hebat XOXO! Terima kasih kerana membuka mata dan jiwa <3 Sayang Nadiah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saraaah, Alhamdulillah terima kasih sebab baca & komen kat blog ni. 😆

      Oh, gaya penulisan macam tu. Hmm rasanya sebab kena tempias akak akak penulis buku kot. Nadiah ada friend dengan beberapa penulis buku kat FB, jadi kerap baca penulisan yang teratur. Mungkin kalau Sarah teringin, boleh cuba friend dengan penulis buku jugak lepas ni. Tapi Sarah punya penulisan kat blog pun not bad, what? Ada gaya blogger gitu. 😊

      Hihihi, Alhamdulillah kita dah nampak kehebatan pituitary gland tu sekarang. Sama-sama. Sayang Sarah jugak, Sarahaeee 💕

      Delete

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.