Saturday, May 5, 2018

Menariknya Debat Embriologi & Quran

Tanggal 27 April 2018, ketua 'batch' telah menghantar satu gambar di 'Whatsapp group'. Aku mula memuat turun gambar tersebut. "Oh, arahan mengenai seminar Anatomi sudah ada di GOALS!" Aku bermonolog sendiri sambil membaca apa yang tertulis di gambar berupa 'screenshot' itu.

Buat pengetahuan pembaca, GOALS atau Global Open Access Learning ialah sebuah portal yang sentiasa dilayari oleh pelajar USIM untuk mengetahui info-info tugasan, memuat turun 'lecture note' dan memuat naik tugasan.

Sedikit pengenalan juga berkaitan seminar. Di Fakulti Perubatan USIM, terdapat beberapa bentuk pembelajaran yang terdapat di sini. Selain 'lecture', terdapat juga TBL (Team-Based Learning, yang dahulunya tutorial di kelas-kelas kecil), tutorial (hanya untuk subjek perubatan yang 'kecil' seperti Histologi & Embriologi), SDL & SLP (Self-Directed Learning & Self-Learning Package, kebiasaannya untuk tajuk yang agak ringan dan pelajar perlu belajar sendiri tanpa bimbingan pensyarah), PBL (Problem-Based Learning, pelajar akan mendapat 'trigger' pertama berupa 'complaint' daripada pesakit dan pelajar perlu berbincang dan mengenalpasti penyakit yang dialami pesakit tersebut sehinggalah mendapat 'trigger' yang seterusnya dan 'trigger' terakhir, yang mana penyakit sebenar mula diketahui. Hanya diadakan 2 sesi bagi 1 semester), dan yang terakhir, yang berkaitan dengan ceritaku hari ini, seminar. Seminar hampir sama dengan 'lecture', tetapi bezanya, pelajarlah pensyarah pada waktu tersebut. Pensyarah ketika itu hanyalah sebagai pemerhati dan akan memberi komen di akhir seminar.


"Seminar Embriologi dan Quran. Setiap kumpulan (yang sedia ada) perlu dibahagikan lagi kepada 2 kumpulan kecil. Contoh: Kumpulan 1a dan 1b. Kumpulan 1a akan fokus tentang embriologi berdasarkan perubatan moden, dan berdebat dengan kumpulan 1b, yang akan mempertahankan pandangan mereka berdasarkan al-Quran dan sunnah." 
'Apa? Debat? Sudahlah kena berdebat antara perubatan moden dan Quran Sunnah, mana mungkin boleh berdebat kalau kedua-duanya bergerak seiring?' Getus hatiku dengan rasa, tak tahulah nak kata macam mana.

Tiba ke tajuk debat,

"Kumpulan 6: Proses Kejadian Anggota Tubuh Badan Dari Segi Masa"

'Oh okey,' sebelum bergerak mencari maklumat, memanglah okey. Bila tengah mencari, baru tahu okey ke tak okey. Jujur, susah betul nak jumpa maklumat yang diperlukan untuk tajuk ini di internet.

Sesama rakan, semuanya kelihatan 'mati akal'.

'Apa yang patut kita perdebatkan?'

'Aku pun tak tahu.'

Alhamdulillah, mujur ada buku Quran Saintifik yang ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin. Itupun lambat juga sedar bahawa maklumat yang tertera sebenarnya ada kaitan dengan tajuk debat kami.


Inilah bukunya
Dan Alhamdulillah, pada malam sebelum debat, kami temui juga isi-isi yang diperlukan, dan pastinya berkaitan dengan tajuk.
*****

Pada hari Khamis, 3 Mei 2018, Alhamdulillah, debat kumpulanku berjalan dengan lancar. Pensyarah-pensyarah juga memberi respon positif bagi semua kumpulan.

*****

Banyak sangat ilmu yang aku peroleh daripada tugasan debat ini, daripada proses mencari maklumat sehinggalah di akhir seminar.

Pertama, mestilah isi debat itu sendiri. Tajuk debat kumpulan aku ni, bukan kumpulanku sahaja yang mengatakannya susah, malahan kumpulan lain juga! Nampak tak betapa susahnya tajuk kami? Namun yang susah itulah yang amat terasa nikmatnya bila temui jawapan! Nak tahu apa yang kami bincangkan ketika debat?

Tajuk: Proses Kejadian Anggota Tubuh Badan Dari Segi Masa

1. Kejadian manusia secara berperingkat atau serentak?

- Perubatan moden: 

Seperti yang kita tahu, manusia dijadikan secara berperingkat. Tetapi tahu tak, zaman dulu-dulu yang mana belum ada teknologi moden lagi untuk mengkaji kejadian manusia dalam rahim ibu, Hippocrates, tokoh yang dikenali sebagai bapa kedoktoran, ada berpendapat bahawa manusia ini dijadikan serentak. Wah, ada juga pendapat macam ni! Namun, selepas itu, kajian sains dah berjaya membuktikan bahawa manusia dijadikan secara berperingkat, dan secara tak langsung menyangkal teori Hippocrates.

- Quran Sunnah:

Ini ialah dalil daripada Surah Nuh ayat 14 yang bermaksud:

"Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?"

Dan dalil daripada Surah al-Mukminun ayat 14 menerangkan peringkat kejadian itu:


"Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi
seketul daging kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."

MasyaAllah, al-Quran yang wujud sebelum ada teknologi canggih lagi pun dah beritahu dulu bahawa manusia ini dijadikan secara berperingkat, kemudian barulah sains moden membuktikannya! Nampakkan mukjizat al-Quran di situ? 

2. Antara deria pendengaran, penglihatan dan akal, yang mana yang datang dulu? (Tapi hanya fokus kepada pendengaran dan penglihatan)

- Perubatan moden:

Dalam ilmu embriologi, telinga yang terbentuk dulu sebelum mata dan bahagian kepala. Selain itu, bayi boleh mendengar sejak dari dalam rahim lagi manakala penglihatan pula, bayi dapat melihat dengan sempurna selepas dilahirkan. Berhubung dengan pendengaran, terdapat sebuah kajian yang dilakukan di Fakulti Sains Kesihatan Queen menunjukkan janin dalam rahim boleh mendengar suara mereka yang bercakap kepadanya ketika berumur 30 minggu. Terdapat juga kajian lain yang membuktikan bahawa janin dalam rahim ibu berkemampuan untuk mendengar dan melihat ketika mencapai umur 20 minggu. Pentingnya hal ini kerana para ibu boleh melakukan pendidikan pra-kelahiran ketika masih mengandung. Untuk penglihatan pula, terdapat kajian menyatakan janin mampu melihat ketika berumur 7 bulan dalam rahim.

- Quran Sunnah:

Berikut merupakan dalil daripada Surah as-Sajdah ayat 9

"Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), supaya kamu bersyukur, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur."


Nampak tak dalam dalil ini, Allah menyebut pendengaran dulu, kemudian penglihatan dan seterusnya hati (akal fikiran)? Pasti ada sebabnya, dan bukti dari sains tadi mungkin boleh jadi salah satu daripadanya.

Sebab itulah dalam Islam, adalah disarankan kepada para ibu untuk membaca al-Quran dan memperdengar segala yang baik-baik ketika sedang mengandung. 

3. Kejadian tangan dan kaki

- Perubatan moden:

Secara ringkasnya, proses pembentukan tangan dan kaki bermula pada minggu ke-5. Ketika ini, 'cartilage' atau tulang rawan mula terbentuk. Kemudian pada minggu ke-7, barulah tulang keras mula terhasil. Selepas itu, proses berlangsung sehinggalah terbentuknya tangan dan kaki.

- Quran Sunnah:

Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari:

Daripada Ibn Mas'ud, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: Sesungguhnya salah seorang antara kamu dikumpulkan kejadiannya dalam rahim ibunya selama 40 hari. Kemudian bertukar menjadi alaqah seperti demikian itu. Selepas itu bertukar menjadi mudghah seperti demikian itu. Kemudian diutus malaikat kepadanya dan ditiupkan roh ke dalamnya."

Sebenarnya panjang penjelasan mengenai hadis ini, tetapi, secara ringkasnya, hadith ini menjelaskan bahawa proses kejadian 'alaqah' (darah beku) sehingga 'mudghah' (daging) memakan masa lebih kurang 40 hari.

Terdapat sebuah lagi dalil daripada Surah al-Mukminun ayat 14:


"... kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; ..." 

Berdasarkan kedua-dua dalil di atas, secara kesimpulannya, proses 'alaqah' (darah beku) bertukar ke 'mudghah' (daging) mengambil masa lebih kurang 40 hari. Selepas 40 hari, barulah proses 'mudghah' bertukar ke peringkat seterusnya iaitu terbentuknya beberapa tulang, yang mana tulang di sini merujuk kepada kejadian tangan dan kaki. Bermakna, tangan dan kaki terbentuk selepas hari ke-40.

Minggu ke-7 (mengikut perubatan moden) ≈ Selepas hari ke-40 (berdasarkan hadis).

Nampak tak perkaitannya?

*****

Kedua, ialah ilmu selain isi untuk debat. 3 pengajaran teragung yang aku dapat:

1. Apa yang termaktub dalam al-Quran dan apa yang tersurat di kaca mata sains sememangnya selari. Lebih-lebih apabila dalil itu kelihatannya tidak menceritakan kejadian itu secara langsung. Namun melalui pembacaan, pemahaman serta perbincangan yang mendalam, sebenarnya secara tidak langsung, dalil itu selari dengan perubatan moden yang kami belajar sebenarnya! Menarik bukan?

2. Perasan tak duhai pembaca, jika dibandingkan isi-isi yang berasaskan perubatan moden dan Quran Sunnah, kedua-duanya seolah-olah saling menyokong antara satu sama lain? Ya, memang pun. Jadi adakah mampu untuk diperdebatkan? Sudah tentulah tidak, malah kami para pelajar ketika itu hanya duduk sahaja seperti debat, tetapi saling menyokong sesama kumpulan (tidak membangkang). Aku pun tak tahu apa tujuan pensyarah meletakkan tugasan ini sebagai 'debat', tetapi pendapat aku, mungkin para pensyarah mahu membuatkan kami tertanya-tanya dahulu adakah perkara ini mampu didebatkan, kemudian membiarkan kami berusaha mencari maklumat sehinggalah berputus asa untuk menjadikannya debat yang sebenar (saling mematahkan hujah), dan dari situlah baru betul-betul nampak yang dalil naqli (Quran dan hadith) dan sains sememangnya seiring! Sangat jelas kelihatan, masyaAllah!

3. Aku masih ingat, ketika aku menonton debat daripada kumpulan lain, aku masih teringat akan hujah seorang kawan aku ini, "Dalil Quran ada menyebut tentang perkara ini, tetapi sains menambahkan lagi rencah kepada fakta dalam al-Quran". Itu mungkin pandangannya. Aku pula, mendengar ayat itu, terus aku teringat apa yang aku faham melalui pembacaan buku Quran Saintifik,

'Ayat al-Quran ini, adakalanya sengaja dibiarkan keterangannya setakat itu sahaja. Boleh sahaja Allah menerangkan sedalam-dalamnya, tetapi ada yang kalam-Nya hanya dibiarkan setakat itu kerana ayat tersebut menuntut manusia untuk mencari dan mengkaji lebih banyak ciptaan Allah yang ada!'

Contohnya, dalam Surah al-Insan ayat ke-2 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada nuthfah yang bercampur."

Dalam ayat ini, Allah hanya menyatakan bahawa manusia dijadikan daripada 'nuthfah' (air mani) tetapi tidak dinyatakan bahan apa yang bercampur dengannya itu. Inilah yang menuntut manusia untuk mengkaji. Setelah dikaji, 'nuthfah yang bercampur' ialah percantuman benih lelaki (sperma) dengan benih wanita (ovum) yang terdapat dalam cecair dalam ovari.

Tamat. Mohon maaf andai tersilap kata.

Rujukan: Quran Saintifik Edisi Kemas Kini - Dr. Danial Zainal Abidin

No comments:

Post a Comment

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.