Saturday, March 31, 2018

Yang Memerhati, Yang Mengalami

Hari Sabtu, yakni hari ketika jari-jemariku sedang menaip kini, dihiasi guruh dan kilat sabung menyabung bagaikan bom yang dilempar silih berganti. Di saat kebanyakan insan memilih untuk menikmati suasana ini dengan tidur, aku, memilih untuk menggali semangat yang pernah terkandung di nurani sebelum ini.

Aku masih ingat, ketika aku masih di tahun satu kursus perubatan, pada hari Jumaat minggu cuti 'study week' dua semester yang lalu, batch tahun dua (GenE) telah menerima keputusan peperiksaan yang dipanggil sebagai 1st Professional Exam. Buat pengetahuan pembaca, professional exam (atau pro exam) ialah peperiksaan besar yang diduduki oleh pelajar perubatan, seperti di sekolah, peperiksaan besar yang ada ialah PMR (sekarang PT3) dan SPM, hah begitulah perumpamaannya. Bagi pelajar perubatan USIM, pro exam diduduki oleh pelajar tahun dua, tahun tiga dan tahun enam. Kiranya ketika tahun pertama, kami belum ada pro exam macam kebanyakan kursus perubatan di universiti lain. Apa yang menjadikan professional exam ini satu peperiksaan besar ialah sekiranya pelajar perubatan tidak lulus dalam peperiksaan ini, pelajar tersebut tidak boleh naik tahun. Dalam erti kata lain, dia perlu mengulang tahun yang dia berada ketika mengambil peperiksaan tersebut bersama batch junior-junior tercinta. Takut tak?

Waktu itu, kami pelajar tahun satu sedang berada di fakulti. Walaupun sedang bercuti, kami perlu datang ke fakulti untuk mengulang kaji bagi menghadapi peperiksaan subjek Anatomy untuk OSPE (ujian berbentuk stesen dan melibatkan cadaver). Apabila keputusan pro exam mula diumumkan, kami pelajar tahun satu ramai-ramai pergi melihat dan mendengar di balik pintu dewan kuliah Ibnu Sina. 

Dari luar, suasana dalam dewan kuliah Ibnu Sina kelihatan suram, lebih suram daripada suramnya suasana ketika menerima keputusan SPM. Pelajar-pelajar duduk dalam keadaan tersusun. Ada Dekan yang mengumumkan keputusan di rostrum. Para pensyarah turut bersama-sama pelajar mendengar keputusan di bahagian belakang. Gementarnya para senior tahun dua ketika itu sehinggakan kami yang menonton dari jauh pun gementar sekali, gementar yang bersulamkan doa agar kesemuanya dapat naik ke tahun tiga, dan juga bersulamkan imaginasiku yang menggambarkan batch aku pula yang berada di dalam dewan itu. Gulp!

'Oh, macam ni lah suasana keputusan pro exam diumumkan. Tahun depan, aku pula yang duduk di situ, ketaqnya!' Getus hatiku.

Satu-satu nama dan gred setiap subjek diumumkan, diselangi tepukan gemuruh oleh pelajar tahun 2 dan kami yang di luar itu. Gembiranya mereka, gembira jugalah kami seraya timbulnya rasa kagum akan kepandaian mereka setiap kali mendengar keputusan mereka diumumkan. Daripada keputusan diumumkan, sehinggalah ke senarai pelajar yang mendapat keputusan terbaik, semuanya menerbitkan rasa gementar, dan juga inspirasi buat diri ini.

Yang lebih menginspirasi diri ini apabila mengetahui bahawa pelajar yang mendapat kedua tertinggi dalam pro exam ketika itu ialah Kak Fatin Nadia. Namanya lebih kurang saja dengan namaku, adakah keputusanku nanti bakal lebih kurang juga sepertinya? (Oh jujur aku malu untuk menaip soalan ni! Tapi aku rasa aku perlu menaipnya, walaupun bagiku soalan itu MUNGKIN tidak lagi relevan untuk kondisiku kini)

Dahulu, aku hanyalah yang memerhati.

Kini, aku pula yang bakal mengalami. Sekejap saja masa berlalu.

Lebih kurang tujuh minggu lagi, batch aku pula yang akan menduduki 1st pro exam. Aku tak boleh leka lagi. Dari sekaranglah aku perlu menggali segala yang boleh menjadi pemangkin semangat untukku terus berdoa dan berusaha ke arah kecemerlangan dalam professional exam!

Nikmat belajar dengan rakan sebatch, nikmat duduk menuntut ilmu bersama-sama di bawah bumbung dewan kuliah yang sama, ialah nikmat yang memang takkan disia-siakan bagi kami, atau dalam istilah bahasa Inggeris, "never take it for granted", kerana di fakulti perubatan ini, belum tentu kami akan berada dalam batch yang sama sehingga habis belajar. Kalau kami masih ingin bersama-sama menuntut ilmu yang sama, dan bergraduasi sama-sama pada tahun yang sama, memang kena buat sebaik mungkin untuk pro exam.

Doa, usaha, tawakkal. Selagi hari itu belum tiba, selagi itu aku dan kawan-kawan masih sempat untuk berdoa dan berusaha!

Berdoalah, dan BERUSAHALAH.

Sekian. Doakanlah buat kami duhai pembaca sekalian, aku mohon.

Nota kaki: Minta maaf atas coretan yang mungkin anda rasa belum cukup inspirasi, sebab yang menaip ni tengah pening kepala tapi gigih juga nak taip. Harap maklum.

4 comments:

  1. Thanksss kak nadiah,very inspiring๐Ÿ˜ good luck for ur final exam! Ur junior,sharifah -xoxo-

    ReplyDelete
    Replies
    1. You're welcome Sharifah. Thanks and good luck too! ๐Ÿ˜Š

      Delete
  2. semoga kita sama2 berjaya yeayy��

    ReplyDelete

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.