Monday, December 10, 2018

Aneh

"Alhamdulillah. Siap!" Kata Nada Arifah yang baru sahaja selesai mengemas barangnya di bilik baharu bagi semester ini.

'Haaah, sejuk ja mata memandang. Penat pun berkurang bila tengok barang-barang ni,' detik hati Nada Arifah yang melihat barang-barangnya yang kesemuanya warna merah jambu itu sambil tersenyum.

"Weh, Nada! Dahsyatnya kau! Kalau tengok dari luar, nampak macam dinding bilik ni sekali kena cat dengan warna pink, tahu?" kata Zakiah yang menjengah bilik Nada Arifah secara tiba-tiba.

"Hahaha, iyakah? Baguslah macam tu! Sejuk mata memandang, bukan?" Balas Nada Arifah dengan teruja.

"Hai Nada, Nada," kata Zakiah sambil menggeleng kepalanya lalu beredar dari situ.

Nada Arifah sambung berehat sambil memerhati ruangan sekelilingnya. Jemala fikirnya tiba-tiba memancar persoalan seraya melihat barang-barang merah jambunya itu.

'Anehkah minat warna merah jambu?'

*****

Nada Arifah mula mengenangkan saat pertama minat itu mekar di hatinya. Minat akan warna merah jambu itu muncul buat kali pertama ketika dia berada di bangku sekolah rendah. Namun, cepat-cepat dia menguburkan minatnya itu dek telatah kawan-kawan di sekolahnya.

"Beg sekolah warna pink? Eee... pink colour!"

Itulah dialog yang sering diajukan kepada sesiapa sahaja yang memiliki barang-barang yang berwarna merah jambu, atau meminati warna merah jambu pada ketika itu. Mujur, ketika itu belum ada siapa-siapa lagi yang mengetahui minat Nada yang baru mekar pada ketika itu sebelum Nada menepisnya. Terlepas Nada daripada usikkan kawan-kawannya.

Namun, cerita perasaan itu tidak terhenti di situ sahaja.

Ketika Nada di tingkatan tiga, minatnya terhadap warna merah jambu muncul kembali. Nada mula mengidamkan segala alatan miliknya berwarna merah jambu yang cair. Namun sayang sekali, sukar untuk dia merealisasikan apa-apa yang diidamnya ketika itu.

Dan minat itu kekal mekar sehingga kini.

*****

Penat Nada Arifah meng'geledah' segala asal-usul minatnya terhadap merah jambu itu dalam mindanya. Dia sedar, dia tidak mampu lagi menafikan keanehan itu.

Lalu Nada Arifah bermonolog,

'Barangkali, inikah yang dinamakan minat tanpa syarat?'

3 comments:

  1. Minat tanpa syarat.
    Cinta tanpa syarat.
    Setia tanpa syarat.

    Sudah jauh ku berjalan,
    Dan detik waktu kian berlalu,
    Andai pink yang kau cintakan,
    Moga dirimu bahgia selalu๐Ÿ’–

    ReplyDelete

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.