Monday, November 19, 2012

Klip Kertas Biru

Klip kertas biru, hmm.. aku sebenarnya tidak tahu apakah panggilan untuk alat ini dan fungsi sebenarnya, namun kebanyakan kawan-kawanku menggunakannya untuk menanda halaman novel yang mereka baca. Aku hanya memanggilnya 'klip kertas' kerana alat ini berbentuk klip kertas yang bersaiz besar. Alat inilah yang menjadi hadiah untuk semua pelajar asrama puteri (aspuri) di sekolahku. Setiap tahun, apabila hari sekolah hampir tiba ke penghujungnya, semua pelajar aspuri mendapat 'hadiah form' daripada Jawatankuasa Aspuri.


Sebaik sahaja penghuluwati tingkatan tiga meletakkan kotak berisi 'klip-klip kertas', aku melihat 'klip kertas' yang berwarna merah jambu. Sungguh, klip kertas itu sememangnya menawan, lalu tangan aku bersedia untuk mencapainya! Tidak sampai sesaat pun berlalu, semua pelajar tingkatan tiga cepat-cepat mengambilnya. Aku yang tidak selesa akan suasana sedemikian, gagal untuk mencapai klip kertas merah jambu. Kegagalan itu menyebabkan aku tercapai klip kertas yang berwarna biru.

Aku tidak sedar 'klip kertas' biru yang kucapai, sehinggalah aku melihatnya di genggamanku. "Biru?? Argh!" Aku agak emosi selepas itu, hati tidak senang, jiwa kacau-bilau. Pelik. Selama ini aku tidak pernah kisah akan apa-apa yang aku peroleh. Hanya al-'Alim sahaja yang tahu punca disebalik emosiku ini.

Kawanku yang mengetahui keadaanku itu, menasihati aku agar menerima hadiah itu seadanya. Aku turut cuba memujuk diri, agar tidak lagi beremosi hanya kerana perkara kecil. Aku cuba untuk mengakui klip kertas itu sebagai kepunyaanku. Dengan secara tiba-tiba, iman memberi peringatan kepadaku.

"Terimalah klip kertas ini seadanya, sudah takdir Allah untuk alat itu menjadi milikmu. Sesungguhnya, setiap yang Allah takdirkan pasti ada hikmahnya. Sebagai manusia, anda pasti ingin kawan anda menerima anda seadanya. Anda pasti akan sedih, dan adakalanya geram apabila mendengar umpatan tentang kelemahan anda bukan? Macam klip kertas ni la, cuba kalau anda berada di tempatnya yang tidak mahu diterima oleh tuannya, mesti anda akan berasa sangat, sangat sedih."


Sejak itu, aku melihat klip kertas biru itu buat kali kedua. Hati aku mula berdetik, "Mungkin ini yang terbaik untukku, bukan yang merah jambu tadi." Akhirnya, Alhamdulillah~ Aku sudah mampu menerima klip kertas biru itu sebagai milikku dengan sepenuh, dan setulus hati.

No comments:

Post a Comment

Silakan komen, dan mohon buka semula blog ni dalam 1 atau 2 hari selepas anda komen. InsyaAllah pasti dibalas.